Takwim solat di Selangor dinaik taraf, sembilan zon daerah diperkenal mulai 1 Januari 2027

10 Nov 2026, 3:13 AM
Takwim solat di Selangor dinaik taraf, sembilan zon daerah diperkenal mulai 1 Januari 2027
Takwim solat di Selangor dinaik taraf, sembilan zon daerah diperkenal mulai 1 Januari 2027

SHAH ALAM, 10 NOV: Sistem penentuan waktu solat di Selangor akan dinaik taraf menerusi pembahagian mengikut sembilan daerah berbanding tiga zon ketika ini, bermula 1 Januari 2027.

Jabatan Mufti Negeri Selangor menerusi media sosial Balai Cerap Selangor memaklumkan, penambahbaikan itu membolehkan penentuan waktu solat dibuat dengan lebih khusus berdasarkan kedudukan geografi setiap daerah, sekali gus mengurangkan julat perbezaan waktu solat dalam sesuatu zon.

Menurutnya, kaedah semasa menggunakan satu titik rujukan paling barat untuk mewakili kawasan dalam setiap zon, menyebabkan perbezaan waktu solat antara daerah dalam zon sama mencecah empat hingga enam minit.

Bagaimanapun, menerusi kaedah baharu yang menggunakan beberapa titik rujukan berdasarkan kedudukan kawasan dalam sembilan daerah, julat perbezaan waktu solat berjaya dikurangkan kepada 1.32 hingga 2.65 minit.

“Penambahbaikan ini hasil kajian yang dijalankan Jabatan Mufti Negeri Selangor dengan kerjasama Universiti Malaya bagi meneliti kebolehlaksanaan penentuan waktu solat berdasarkan daerah di negeri ini.

“Kaedah baharu ini mengambil kira kedudukan kawasan secara lebih khusus bagi memastikan penentuan waktu solat lebih bersesuaian dengan keperluan setempat,” menurut perkongsian jabatan itu menerusi YouTube Balai Cerap Selangor.

Kertas kajian berkenaan kemudiannya dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Falak Negeri Selangor pada 26 Mei 2025 sebelum dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan dipersetujui pada 5 Jun tahun sama.

Cadangan itu kemudian dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj  pada 10 Oktober 2025 sebelum mendapat perkenan baginda pada 17 November 2025 untuk dilaksanakan pada 2027.

Sehubungan itu, umat Islam di Selangor perlu merujuk jadual waktu solat berdasarkan daerah masing-masing bagi memastikan pelaksanaan ibadah menepati waktu yang ditetapkan.

Penentuan daerah boleh dibuat dengan merujuk kawasan pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah atau Pejabat Daerah dan Tanah setempat, selain memastikan rujukan waktu menggunakan Waktu Standard Malaysia.

Orang ramai boleh mendapatkan takwim waktu solat menerusi laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Maklumat berkaitan arah kiblat dan lawatan ke Balai Cerap Selangor pula boleh diperoleh melalui portal e-Falak Selangor serta saluran media sosial rasmi jabatan berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.