“Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja.”
Ada sesuatu yang berbeza apabila kita membaca semula bait puisi Tetamu Senja ini selepas pemergian penulisnya, A. Samad Said, yang menghembuskan nafas terakhir ketika hari beransur senja, semalam (24 November 2026).
Pada usia 91 tahun, beliau pergi meninggalkan dunia yang sekian lama dirakam melalui aksara dan direnung melalui karya. Namun, pemergiannya tidak bermakna perjalanan fikirannya turut berakhir.

Ada tulisan yang terus menemukan pembaca, ada cerita yang masih mengundang perbincangan, dan ada persoalan yang kekal relevan meskipun ditulis puluhan tahun lalu.
Di situlah letaknya legasi Pak Samad. Bukan hanya pada gelaran Sasterawan Negara atau panjangnya senarai karya yang pernah dihasilkan, tetapi pada keupayaan tulisannya untuk terus berbicara kepada manusia yang datang selepas zamannya.
Bukan sekadar cerita
Pak Samad bukan sekadar menghasilkan karya untuk dibaca dan dihabiskan halamannya. Melalui novel seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang, Daerah Zeni dan Hujan Pagi, beliau merakam pelbagai sisi kehidupan manusia, termasuk kemiskinan, ketidakadilan, penderitaan dan perjuangan untuk meneruskan hidup.
Karya-karya itu membawa pembaca mendekati kehidupan golongan biasa, khususnya mereka yang sering terpinggir daripada perhatian. Watak dan kisah yang dibina bukan sekadar pengisi jalan cerita, sebaliknya membuka ruang untuk kita melihat masyarakat dengan lebih dekat.

Salina, misalnya, mengangkat kehidupan masyarakat yang bergelut untuk meneruskan hidup dalam suasana pascaperang. Latar waktunya mungkin jauh daripada pengalaman generasi hari ini, tetapi persoalan tentang maruah, kesusahan dan kelangsungan hidup tidak pernah benar-benar asing daripada kehidupan manusia.
Sebab itu, karya sastera tidak seharusnya dinilai berdasarkan zamannya semata-mata. Sesebuah cerita mungkin lahir daripada keadaan masyarakat puluhan tahun lalu, tetapi pemikiran di sebaliknya boleh terus hidup apabila persoalan yang dibangkitkan masih berlaku di sekeliling kita.
Keprihatinan itu tidak terhenti pada halaman buku. Pengalamannya dalam dunia kewartawanan dan penglibatan dalam gerakan masyarakat sivil, termasuk Bersih 2.0, memperlihatkan bahawa bagi Pak Samad, penulisan bukan sesuatu yang terpisah daripada kehidupan masyarakat.
Barangkali itulah antara kekuatan Allahyarham sebagai penulis. Beliau bukan hanya menyusun aksara untuk menghasilkan cerita, tetapi turut membawa keresahan terhadap kehidupan, masyarakat dan keadaan sekeliling ke dalam penulisannya.
Pembaca baharu
Namun, di sebalik segala penghormatan dan ucapan takziah yang diberikan, ada satu persoalan yang lebih wajar kita renungkan: sejauh mana karya Pak Samad masih dibaca oleh generasi hari ini?
Kita tidak sukar menemukan nama beliau dalam buku teks, catatan sejarah sastera atau senarai tokoh penting negara. Karya-karyanya juga sering disebut sebagai khazanah bangsa. Tetapi pengiktirafan itu belum tentu menggambarkan sejauh mana masyarakat benar-benar mengenali dan menghayati tulisannya.
Kita mungkin pernah membaca Salina atau memetik rangkap puisi Tetamu Senja ketika di bangku sekolah. Namun, selepas meninggalkan alam persekolahan, berapa ramai antara kita yang kembali mencari karya-karya tersebut? Berapa ramai pula yang memperkenalkannya kepada anak-anak atau generasi lebih muda?
Dalam dunia yang semakin pantas, ketika perhatian mudah beralih kepada kandungan singkat di skrin telefon, membaca novel atau puisi mungkin tidak lagi menjadi pilihan utama sebahagian masyarakat.

Itu realiti yang tidak boleh kita nafikan. Namun, jangan sampai karya yang kita banggakan hanya disebut ketika penulisnya meninggal dunia, kemudian kembali sepi di rak buku.
Kita juga perlu berhenti melihat karya sastera sekadar bahan untuk memenuhi tuntutan peperiksaan. Salina dan Sungai Mengalir Lesu, misalnya, bukan hanya naskhah yang perlu diketahui kerana tercatat dalam sejarah kesusasteraan. Kedua-duanya menyimpan gambaran kehidupan, pemikiran dan persoalan kemanusiaan yang masih boleh dibincangkan dalam konteks hari ini.
Lebih penting, generasi muda perlu diberi ruang untuk mendekati karya tersebut tanpa menganggapnya sebagai sesuatu yang jauh, berat atau hanya sesuai untuk golongan tertentu. Mereka mungkin menemukan makna yang berbeza daripada pembaca terdahulu, dan itulah antara cara sesebuah karya terus hidup merentas zaman.
Justeru, penghargaan terhadap Pak Samad tidak seharusnya terhenti pada ucapan takziah, petikan puisi atau imbasan perjalanan hidupnya. Penghormatan yang lebih bermakna ialah memastikan karya dan pemikirannya terus dibaca, dibincangkan serta diperkenalkan kepada generasi baharu.
Kita mungkin tidak mampu membalas segala sumbangannya kepada dunia sastera. Namun, usaha itu boleh bermula dengan membuka kembali buku-bukunya, menyelami pemikiran yang terkandung di dalamnya dan berkongsi karya tersebut dengan mereka yang belum mengenalinya.
Akhirnya, kita semua memang hanya tetamu dalam perjalanan kehidupan. Ada yang meninggalkan kenangan, ada yang meninggalkan jasa, dan ada yang mewariskan kata-kata untuk direnungkan oleh mereka yang datang kemudian.

Pak Samad sudah melengkapkan perjalanannya. Kita mungkin tidak lagi berpeluang mendengar suaranya, namun karya dan pemikirannya akan terus menjadi jendela yang membawa generasi baharu menyelami dunia yang pernah beliau rakamkan melalui kata-kata.
Selamat jalan, Pak Samad. Terima kasih kerana meninggalkan kami begitu banyak cerita untuk direnungkan.
Al-Fatihah.
*Naeem Raffi merupakan Penolong Pengarang Kanan (Bahasa Melayu) Media Selangor







