SHAH ALAM, 22 JAN: Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said menyuarakan kekecewaan terhadap penganjur Malam Laguan Puisi yang bakal diadakan di Panggung Eksperimen, Aswara pada 8 Februari depan.
Anak kedua beliau, Helmy A Samad,61, berkata tiada perbincangan langsung dibuat berkaitan acara itu sebaliknya hanya menerima surat yang dihantar melalui pautan emel.
“Bapak sedia maklum program tersebut tetapi sehingga hari ini tiada perbincangan lanjut. Melalui surat ini hanya memaklumkan bahawa meminta kebenaran membacakan puisi sahaja… tiada bincang soal lain.
“Malah, bapak maklumkan urusan seperti ini sebelum mula projek perlu tanya semua. Bapak umpamakan perkata ini seperti pinjam kereta dahulu dan selepas itu baru beritahu,” katanya dihubungi SelangorKini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kejadian seperti ini bukan yang pertama sebaliknya sering berlaku kepada sasterawan negara itu yang kini berusia 94 tahun.
“Apabila hendak menggunakan karya orang kena minta kebenaran dan beri bayaran… takkan penyanyi dapat tetapi pencipta itu sendiri tidak dapat.
“Perkara ini tidak seharusnya berlaku dan perlu ada perbincangan rasmi terlebih dahulu,” katanya lagi.
Malam Laguan Puisi bakal diadakan di Panggung Eksperimen, Aswara pada 8 Februari depan. Program yang akan mendeklamasi puisi sasterawan negara itu disertai Aqasha, Azizul Hakim dan Ayu Damit.