Pemergian A Samad Said tinggalkan legasi besar kesusasteraan negara – Fahmi

24 Nov 2026, 2:15 PM
Pemergian A Samad Said tinggalkan legasi besar kesusasteraan negara – Fahmi

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Pemergian Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said meninggalkan legasi menerusi karya yang menjadi sumber inspirasi generasi seterusnya, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata sepanjang hayatnya, sasterawan itu yang mesra dikenali sebagai Pak Samad telah mengabdikan diri kepada bahasa dan sastera, bukan sekadar melalui penulisan, tetapi juga dengan merakam denyut nadi kehidupan, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa melalui mata seorang sasterawan.

Beliau berkata karya agung Allahyarham seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi terus menjadi sebahagian daripada khazanah sastera negara yang akan dibaca dan dihayati generasi demi generasi.

“Sesungguhnya, jasad seorang sasterawan mungkin telah pergi namun suara, pemikiran dan perjuangannya tidak akan sama sekali terpadam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek pula menyifatkan karya Pak Samad begitu dekat dengan kehidupan masyarakat sehingga mampu membantu seseorang mengungkapkan perasaan dan penghargaan yang kadangkala sukar diluahkan dengan kata-kata sendiri.

“Beliau membantu kita mengungkapkan perasaan atau pesanan yang kadangkala sukar kita luahkan sendiri. Melalui tulisannya, kita diajak memahami kehidupan orang lain dan menyelami kesusahan mereka,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Fadhlina berkata beliau berharap karya dan pemikiran Allahyarham terus dibaca serta dihayati, khususnya oleh generasi muda, kerana masih banyak pengajaran yang boleh diperoleh daripada hasil penulisan tokoh berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching turut merakamkan penghormatan kepada Allahyarham dengan memetik sebahagian puisi “Hidup Bersama” yang mencerminkan pemikiran dan perjuangan sasterawan itu.

“Terima kasih kerana memberikan Malaysia hati nurani dan keindahan puisinya, Pak Samad. Kata-kata anda akan terus hidup buat selama-lamanya,” kata beliau.

A Samad Said, atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said, 91, menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur selepas dimasukkan ke wad di hospital berkenaan akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.

Lahir pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, beliau adalah Sasterawan Negara keempat yang menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985.

Selain itu, beliau turut menerima Anugerah Pejuang Sastera pada 1976 dan Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada 1979 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang kesusasteraan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.