Bojan Hodak dipilih kemudi Harimau Malaya, ganti Cklamovski

24 Nov 2026, 6:45 AM
Bojan Hodak dipilih kemudi Harimau Malaya, ganti Cklamovski

SHAH ALAM, 24 NOV: Bojan Hodak dipilih sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya bagi menggantikan Peter Cklamovski yang meninggalkan skuad kebangsaan pada Jun lalu.

Pengendali berusia 55 tahun dari Croatia itu menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas melalui proses pemilihan badan induk berkenaan.

Pemilihan Hodak diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan FAM kali kedua bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung hari ini.

“Pengumuman rasmi kena tunggu dulu. Tapi memang Hodak dilantik,” kata sumber seperti dilaporkan Berita Harian.

Pelantikan itu bakal menyaksikan Hodak menjadi jurulatih ke-45 Harimau Malaya sejak skuad kebangsaan dibentuk pada 1956, selain pengendali import ke-20 dalam sejarah pasukan negara.

Sebelum ini, Tan Cheng Hoe diberi tanggungjawab sebagai pengendali interim susulan pemergian Cklamovski Jun lalu.

Hodak bukan nama asing dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah membimbing Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur City FC (KL City) dan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19).

Antara kejayaannya termasuk membantu Kelantan menjulang empat trofi pada 2012 dan 2013, selain membawa JDT menjuarai Liga Super 2014 dan Piala Sumbangsih 2015.

Beliau turut membimbing KL City menjuarai Piala Malaysia 2021 serta membawa skuad B-19 negara menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2018.

Terbaharu, Hodak membantu Persib Bandung menjuarai liga Indonesia tiga musim berturut-turut iaitu 2023/2024, 2024/2025 dan 2025/2026 sebelum beralih sebagai penasihat teknikal kelab itu pada Mei lalu.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.