Pan Gon kini ketua jurulatih Selangor FC, Gamel pengarah teknikal

5 Jan 2026, 12:34 PM
Pan Gon kini ketua jurulatih Selangor FC,  Gamel pengarah teknikal
Pan Gon kini ketua jurulatih Selangor FC,  Gamel pengarah teknikal
Pan Gon kini ketua jurulatih Selangor FC,  Gamel pengarah teknikal
Pan Gon kini ketua jurulatih Selangor FC,  Gamel pengarah teknikal

SHAH ALAM, 5 JAN: Selangor FC mengesahkan pelantikan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih baharu Gergasi Merah, berkuat kuasa hari ini.

Menerusi kenyataan, Selangor FC turut mengumumkan bekas jurulatih interim, Christophe Gamel dilantik sebagai Pengarah Teknikal baharu bagi memperkukuh perancangan jangka panjang pasukan.

Kelab percaya Kim Pan Gon akan memacu prestasi skuad utama Gergasi Merah dengan jayanya serta memastikan pasukan kekal kompetitif di peringkat tertinggi.

“Peranan Gamel sebagai Pengarah Teknikal Selangor FC pula akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan struktur kejurulatihan dan pemain muda, khususnya bagi skuad bawah 23 tahun serta peringkat akar umbi kelab,” menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini, nama Pan Gon menjadi tumpuan apabila terdapat spekulasi yang mendakwa bekas jurulatih skuad kebangsaan itu bakal menyertai Gergasi Merah.

Pada September lalu, Selangor FC mengumumkan ketua jurulatih Katsuhito Kinoshi direhatkan daripada tugasan bersama pasukan utama berkuat kuasa serta-merta.

Pan Gon pernah membimbing skuad Harimau Malaya dari 2022 hingga 2023, termasuk membawa pasukan mencatat beberapa keputusan positif di peringkat antarabangsa.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu sebelum ini mengendalikan kelab gergasi K-League, Ulsan Hyundai, sekali gus membawa bersama pengalaman luas di pentas bola sepak Asia.