SHAH ALAM, 23 NOV: Empat lelaki warga Myanmar dihukum penjara enam bulan setiap seorang manakala seorang lelaki tempatan didenda RM42,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki 4,845 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi tanpa lesen.
Hakim Ainul Bashirah Dona Don Biyajid menjatuhkan hukuman terhadap Tin Saw Oo, 21, Pyae Phyo Maung, 21, Ko Lin, 36, Kyaw San Linn, 37, serta lelaki tempatan Moo Teck Lim, 50, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap empat warga Myanmar itu bermula dari tarikh tangkap pada 14 Julai lalu, manakala Teck Lim berdepan penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, kesemua lelaki terbabit didapati memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak masak seberat 4,845 kg dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah.
Mereka didakwa berurusan secara borong dengan minyak masak berkenaan tanpa lesen, sekali gus melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Bandar Pinggir Subang, Seksyen U5, pada jam 3.30 petang, 14 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu premis berkenaan sebelum menahan kelima-lima lelaki kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi, lapor KOSMO! ONLINE.
Hasil serbuan, pihak berkuasa merampas 4,845kg minyak masak, sebuah lori serta peralatan dipercayai digunakan untuk memindahkan minyak masak daripada paket ke dalam tong, dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM124,652.50.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Sallim Wahid, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.







