Ops Khas Luxury: Warga Myanmar pandu Civic Type R tanpa lesen antara ditahan

28 Ogos 2026, 12:33 PM
Ops Khas Luxury: Warga Myanmar pandu Civic Type R tanpa lesen antara ditahan

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Seorang lelaki warga Myanmar yang memandu sebuah kereta Honda Civic Type R tanpa lesen memandu sah antara yang ditahan dalam Operasi Khas Luxury Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) yang menyaksikan 23 kenderaan mewah disita dari Selasa lepas hingga semalam.

Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata lelaki berusia 20-an itu ditahan selepas berkonvoi dengan beberapa kenderaan lain di Plaza Tol Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE).

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah dan dipercayai pemilik kenderaan membenarkan lelaki terbabit memandu kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kenderaan lain yang turut disita termasuk Ferrari F8, Porsche Macan, Land Rover Range Rover Sport, BMW, Mercedes-Benz, Audi, Volvo dan Toyota Alphard serta beberapa kenderaan mewah.

Hamidi berkata sebanyak 73 notis kesalahan dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan, membabitkan 39 kes Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, 30 kes tiada perlindungan insurans, tiga kes tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan satu kes mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.

“Sebanyak 23 kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), menjadikan jumlah keseluruhan notis dikeluarkan sepanjang operasi tiga hari itu sebanyak 96 notis,” katanya.

Hamidi berkata bagi keseluruhan pelaksanaan Operasi Khas Luxury yang bermula Januari hingga hari ini, sebanyak 179 kenderaan disita manakala 393 notis P22 dikeluarkan.

Daripada jumlah itu, 209 kes membabitkan LKM tamat tempoh, 158 kes tiada perlindungan insurans, 21 kes tiada CDL dan lima kes melibatkan kesalahan lain.

Beliau berkata dalam tempoh sama, sebanyak 179 notis penyitaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan sebanyak 572 notis.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.