ad
AGENDA

Lebih 116,000 individu bekerja sendiri di Selangor carum Perkeso

11 Okt 2024, 7:51 AM
Lebih 116,000 individu bekerja sendiri di Selangor carum Perkeso

SHAH ALAM, 11 OKT: Sejumlah 116,782 pencarum kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS) di Selangor pencarum aktif dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak Januari hingga 31 Ogos lalu.

Pengarah Perkeso Selangor Ismail Abi Hashim berkata jumlah itu melibatkan nilai caruman berjumlah RM8.86 juta.

“Berdasarkan statistik Perkeso, terdapat peningkatan peratus pencarum yang berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sejak 2017.

“Ini menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingannya semakin baik,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut Ismail, pelbagai inisiatif dilaksana Kementerian Sumber Manusia melalui Perkeso bagi menggalak dan meningkatkan kesedaran mencarum termasuk pekerja sektor gig.

“Antaranya program advokasi dan jalinan kerjasama strategik dan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta serta penyedia perkhidmatan berkaitan termasuk Grab, Lalamove dan Lazada,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata langkah kerajaan mewajibkan caruman SKSPS bagi penjaja dan peniaga berlesen mulai 1 Januari tahun depan bertujuan menyediakan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja.

“Bagi memastikan golongan ini berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS, Perkeso akan terus bekerjasama dengan semua unit kerajaan tempatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sepanjang tempoh peralihan.

“Selain itu, caruman SKSPS turut dicadang menjadi salah satu prasyarat untuk memohon atau memperbaharui lesen berniaga di bawah PBT bagi meningkatkan kesedaran peniaga serta penjaja untuk mencarum.

“Perkeso juga sedang menambahbaik Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789],” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso berkata pertubuhan itu menyasarkan untuk mencapai sejuta pencarum bagi kategori OBS menjelang akhir tahun ini.

Menurut Roshaimi Mat Rosely setakat 27 September seramai 693,969 individu berdaftar sebagai pencarum aktif OBS di seluruh negara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.