Seseorang mungkin masih mampu bekerja, belajar, berbual dan menjalani rutin seperti biasa. Namun, keadaan yang kelihatan baik dari luar tidak semestinya menggambarkan apa yang sedang dilalui dalam dirinya.
Berbeza dengan masalah fizikal, gangguan terhadap kesihatan mental tidak selalu dapat dilihat. Lebih membimbangkan apabila individu memilih memendam masalah kerana takut dilabel atau dipandang serong.
Pakar Psikologi Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Sakinah Idris berkata tanggapan terhadap mereka yang mendapatkan rawatan psikiatri atau psikologi masih wujud meskipun kesedaran mengenai kesihatan mental semakin meningkat sejak pandemik Covid-19.
Pandangan mengenai kemurungan dan keresahan sesuatu yang memalukan boleh menyebabkan individu takut menjalani pemeriksaan atau mendapatkan pertolongan.
“Kesihatan mental tidak sepatutnya dipandang ringan hanya kerana masalahnya tidak kelihatan secara fizikal. Kemurungan dan keresahan bukan sesuatu yang memalukan kerana terdapat rawatan dan cara untuk mengatasinya,” katanya.
Beliau ditemui pada Karnival Rentak Sihat 2026 anjuran Persatuan Penduduk Rentak Perdana bersama Surau Rentak Perdana dengan kerjasama strategik Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam disokong sukarelawan Jawatankuasa Perwakilan Non-Residen (JPNR) UiTM Cawangan Selangor pada 10 Oktober lalu.

Dr Sakinah berkata saringan juga tidak bermaksud seseorang terus dianggap mempunyai masalah kesihatan mental.
“Saringan membantu mengenal pasti kemungkinan masalah yang memerlukan pemeriksaan lanjut, bukannya memberikan diagnosis secara terus,” katanya.
Individu yang mengalami simptom berpanjangan sehingga mengganggu kehidupan harian disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor atau bantuan profesional.
Pada masa sama, gaya hidup sihat, interaksi sosial dan penyertaan dalam aktiviti komuniti boleh membantu memelihara kesejahteraan mental.
Pakar psikologi itu berkata, usaha mendekati masyarakat perlu diteruskan supaya mereka memahami bahawa masalah kesihatan mental boleh dirawat.
Lebih penting, mendapatkan bantuan bukan sesuatu yang perlu disembunyikan hanya kerana bimbang terhadap pandangan orang lain.

Kongsi masalah bukan kelemahan
Tekanan pembelajaran, tugasan bertimbun dan kehidupan seharian antara cabaran yang boleh memberi kesan terhadap kesejahteraan mental golongan muda.
Namun, Muhammad Ekmal Hakimi Bashid, 19, percaya individu yang berani berkongsi masalah tidak seharusnya dianggap terlalu sensitif atau lemah.
“Setiap orang mempunyai tahap sensitiviti dan perasaan yang berbeza.
“Kesedaran yang semakin terbuka ini satu perkembangan positif kerana kita bukan sahaja boleh mengamalkannya untuk diri sendiri, malah menggalakkan orang lain untuk turut mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurut Muhammad Ekmal, tabiat belajar secara berlebihan tanpa rehat mencukupi serta menangguhkan tugasan sehingga bertimbun antara perkara yang boleh memberi tekanan kepada pelajar.
Bagi penduduk setempat, Faridah Mohd Dihan, ada individu mungkin tidak menyedari dirinya sedang berdepan masalah emosi kerana merasakan keadaan mereka masih baik.
Justeru, orang terdekat mempunyai peranan penting untuk mendengar tanpa terus menghukum.
“Bila melibatkan emosi, memang perlu bercerita dari hati ke hati, jadi kita kena percaya apa yang dikatakan dan sentiasa berfikiran terbuka.
“Orang sekeliling perlu memainkan peranan dengan mendengar dan memberikan sokongan,” katanya.

Penganjur Karnival Rentak Sihat 2026, Ahmad Hosni Mubara, 42, pula melihat usaha meningkatkan kesedaran tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada agensi besar.
“Kita jadikan agensi besar rakan strategik supaya dapat bersama-sama turun padang dan sebarkan manfaatnya kepada penduduk,” katanya.

Usaha di peringkat komuniti membuka ruang untuk masyarakat mengenali tanda awal, mendapatkan maklumat tepat dan memahami bahawa meminta pertolongan bukan tanda kelemahan.







