Benarkah Gen Z manja, tidak tahan tekanan?

29 Jan 2026, 7:01 AM
Benarkah Gen Z manja, tidak tahan tekanan?

Generasi Z (Gen Z) yang baru melangkah ke alam pekerjaan sering dilabel sebagai terlalu sensitif, manja dan tidak tahan tekanan apabila meluahkan isu berkaitan kesihatan mental di tempat kerja.

Namun di sebalik dakwaan itu, ada realiti yang lebih halus, mendalam dan manusiawi. Mereka bukan lemah tetapi dunia kerja yang gagal bergerak seiring perubahan zaman.

Persepsi ‘lemah berbanding keras’ antara generasi menjadi punca utama salah faham di tempat kerja, sekali gus menyumbang kepada tekanan mental dalam kalangan pekerja pelbagai peringkat umur.

Penasihat Undang-Undang Buruh dan Sumber Manusia, menjelaskan Gen Z dibesarkan dalam persekitaran pantas dengan teknologi, komunikasi terbuka dan maklum balas segera.

Justeru, apabila mereka memasuki organisasi yang masih mengamalkan sistem manual, birokrasi panjang serta kurang sokongan, tekanan mudah tercetus.

“Gen Z bukan lemah, mereka cuma tidak mahu senyap seperti generasi sebelum ini. Mereka berani bercakap tentang tekanan kerana mahu penyelesaian, bukan kerana mahu dimanjakan,” kata Alya Ariffin ketika program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Kegagalan majikan memahami perbezaan latar generasi dan cara kerja inilah yang menjadikan Gen Z sering disalah tafsir sebagai tidak tahan cabaran.

Dalam organisasi hari ini, sekurang-kurangnya tiga generasi bekerja di bawah satu bumbung - Gen X, Milenial dan Gen Z.

Setiap generasi mempunyai gaya komunikasi dan cara bekerja berbeza, namun sering kali perbezaan ini tidak diurus dengan baik, sehinggalah salah tafsir komunikasi yang kecil boleh membawa kesan besar.

Contohnya, penggunaan e-mel berhuruf besar boleh dianggap sebagai nada marah oleh pekerja muda, sedangkan bagi generasi lebih senior ia sekadar gaya penulisan biasa.

“Konflik kecil yang tidak dibincangkan boleh bertukar menjadi tekanan besar apabila masing-masing membuat andaian sendiri. Di sinilah empati dan komunikasi terbuka menjadi sangat penting,” katanya.

Penasihat Undang-Undang Buruh dan Sumber Manusia, Alya Ariffin

Kesihatan mental pekerja

Kesihatan mental tidak boleh dianggap sebagai isu peribadi semata-mata kerana ia menjadi sebahagian keselamatan pekerjaan di bawah undang-undang.

Pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 serta pengenalan undang-undang berkaitan antigangguan dan 'anti-doxing' menunjukkan tanggungjawab majikan untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat dari segi fizikal dan mental.

“Majikan tidak boleh lagi menutup mata. Kesihatan mental pekerja kini adalah komponen keselamatan di tempat kerja dan kegagalan menjaganya boleh memberi implikasi undang-undang,” katanya.

Selain pekerja muda, tekanan mental turut menghantui kalangan pekerja senior, khususnya lelaki yang sering dipandang seolah-olah bermasalah apabila berlaku perubahan tingkah laku.

Ramai pekerja senior memendam emosi kerana rasa mereka perlu sentiasa kuat sebagai ketua keluarga dan tonggak organisasi.

Tekanan yang tidak diluahkan akhirnya muncul dalam bentuk lesu upaya (burnout), krisis pertengahan usia, mudah marah atau hilang motivasi kerja.

“Diam bukan tanda kuat. Kadang-kadang ia petanda seseorang sudah terlalu lama memendam tekanan yang tidak pernah didengari,” jelasnya.

Alya turut menyentuh isu stigma terhadap cuti sakit yang masih berakar dalam budaya kerja sesetengah organisasi, seperti mana senario ada pekerja sanggup hadir bekerja walaupun sakit kerana takut dilabel malas atau tidak komited.

Padahal, cuti sakit merupakan hak pekerja di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) dan bukan ihsan majikan.

“Apabila pekerja rasa bersalah hanya kerana menjaga kesihatan diri, itu petanda budaya kerja yang tidak sihat. Isu sebenar bukan pekerja ambil cuti sakit tetapi organisasi yang menghukum kesihatan.

"Organisasi yang gagal menyesuaikan budaya kerja dengan keperluan semasa berisiko kehilangan pekerja berkualiti dan menjejaskan kelestarian operasi jangka panjang."