KLANG, 23 NOV: Penyertaan dalam acara larian bukan sekadar menguji kemampuan fizikal, malah mendorong peserta menetapkan sasaran kecergasan, membina disiplin latihan dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Bagi Ahmad Farid Aziz, 26, yang bekerja sebagai juruukur bahan dan menetap di Damansara Damai, penyertaan dalam acara Larian Bandaraya Diraja Klang sejauh 21 kilometer menjadi langkah untuk meningkatkan kecergasan jantung selepas sebelum ini lebih menumpukan latihan di gimnasium.

“Daripada 21 kilometer, selepas ini 42 kilometer, maraton penuh dan insya-Allah suatu hari nanti Ironman pula,” katanya mengenai sasaran yang ingin dicapai dalam sukan ketahanan itu.
Beliau ditemui selepas menyertai Larian Bandaraya Diraja Klang di Dataran GM Klang di sini, hari ini.
Sementara itu, Perancang Pengeluaran, Mohd Faizol Abd Hamid, 54, dari Teluk Panglima Garang berkata, minat terhadap aktiviti larian dan berjoging setiap hujung minggu mendorongnya menyertai pelbagai acara, termasuk maraton penuh di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Putrajaya.

“Program ini bagus untuk menggalakkan orang Klang aktif berjoging dan bersukan. Harapan saya supaya program ini diteruskan setiap tahun bagi mempromosikan Bandaraya Klang,” katanya.
Bagi Norshafira Zulkifli, 36, dari Seksyen 19, Shah Alam pula, penglibatannya dalam acara larian bermula dengan hasrat menurunkan berat badan sebelum berkembang menjadi usaha mengekalkan gaya hidup lebih sihat.
“Apabila kita sudah fokus untuk menyertai sesuatu acara, secara automatik kita akan membuat persiapan, mungkin setiap minggu atau setiap hari berlatih dan secara tidak langsung ia mendorong kita mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Norshafira yang bekerja sebagai eksekutif swasta berkata, penyertaan bersama rakan sekerja turut menjadi pembakar semangat untuk membuat persediaan bagi acara larian seterusnya, termasuk cabaran sejauh 42 kilometer di Bentong pada minggu berikutnya.
“Bila sudah daftar sesuatu acara, kita kena ada disiplin untuk berlatih. Kalau tidak, susah untuk capai sasaran. Secara tidak langsung, kita jadi lebih konsisten menjaga kesihatan,” katanya











