ad

Trend tanam sayur di rumah semakin popular, bantu kurangkan kos hidup

5 Okt 2025, 7:00 AM
Trend tanam sayur di rumah semakin popular, bantu kurangkan kos hidup

SHAH ALAM, 5 OKT: Amalan menanam sayur atau herba secara kecil-kecilan di rumah semakin menjadi pilihan ramai, bukan sahaja mampu menjimatkan perbelanjaan dapur, malah turut menjadi aktiviti sihat bersama keluarga.

Penduduk Kampung Batu Laut, Banting, Asdayanti Syakina, 32, berkata, menariknya amalan ini tidak terhad untuk rumah di atas tanah sahaja, bahkan penghuni pangsapuri turut kreatif memanfaatkan ruang balkoni atau sudut kecil untuk bercucuk tanam, termasuk menggunakan barangan terpakai seperti tong minyak masak sebagai pasu.

Asdayanti Syakina

"Penduduk pangsapuri pun boleh sebenarnya nak tanam dalam pasu untuk guna sendiri. Kita sendiri nak masak, makan tak perlulah kita beli sekali banyak di pasar raya yang dah siap bungkus banyak-banyak walaupun kita cuma nak guna sehelai dua sahaja.

"Saya cadangkan penduduk gunakan apa yang ada misalnya bekas terpakai jadikan pasu untuk tanam setakat serai, limau purut, cili memang boleh untuk kurangkan kos hidup kita.

"Saya memang cadangkan tanaman yang kita akan pakai setiap hari contohnya serai untuk masakan kita kerana tidak perlulah kita ke kedai setiap kali nak masak kena beli dan beli. Sekurang-kurangnya membantu mengurangkan kos sara hidup," katanya ketika ditemui Media Selangor di Selangor Agro Green @ Kuala Langat 2025 di Pantai Kelanang semalam.

Beliau berkata antara tanaman herba yang terdapat di pekarangan rumah beliau seperti serai, kunyit, halia, cili dan ulam-ulaman seperti ulam raja.

Azura Alias, 35, yang tinggal di Telok Panglima Garang menganggap amalan berkebun secara kecil-kecilan di rumah boleh dijadikan aktiviti mengisi masa lapang bersama keluarga.

"Kalau untuk saya, saya jadikan aktiviti menanam ini macam hobilah untuk saya dan keluarga. Macam saya ada anak-anak kecil, daripada mereka habiskan masa buat aktiviti tak berfaedah, saya ajaklah mereka menanam sekali.

Azura Alias

"Anak saya yang sulung minat menanam. Dia ada tanam kangkung, cili di rumah. Jadi, pada masa sama mengisi masa lapang dia daripada buat aktiviti tak berfaedah. Anak tiga orang, umur sembilan, tujuh dan lima dan ketiga-tiga minat menanam," katanya.

Tambah beliau, selain itu juga boleh mengelakkan pembaziran wang dan masa kerana tidak perlu ke pasar raya yang lazimnya menjual tanaman herba siap dibungkus dalam kuantiti banyak sedangkan hanya perlukan sedikit sahaja.

Antara tanaman yang beliau usahakan di halaman rumah seperti kunyit, limau purut, kesum, serai dan bayam Brazil.

Penduduk seksyen 29 Shah Alam, Baizura Mohamed, 42, berkata menguruskan tanaman kecil-kecilan di rumah tidak memerlukan masa yang panjang sebaliknya hanya beberapa jam seminggu.

Baizura Mohamed

"Depan rumah saya ada tanah sedikit. Saya tanam pokok yang boleh guna untuk masak di rumah macam serai, limau purut, daun pandan, pokok ubi, cili padi. Kiranya pokok-pokok yang mudah nak hidup.

"Mengisi masa lapang. Kalau tanam rasa seronok. Saya kerja Isnin sampai Sabtu. Selalunya hari Ahad, pagi-pagi tu saya buatlah sebab pagi tak panas. Tanam apa patut, bersihkan halaman.

"Tak perlu (ambil masa lama) sebab saya buat pun, buat waktu pagi, dalam pukul tujuh. Bila matahari dah nak keluar, dah panas saya berhentilah," katanya.

Ujar beliau, hasil tanaman juga boleh dikongsi dengan jiran sekali gus mampu mengeratkan lagi hubungan silaturahim.