Kali terakhir imej Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj digunakan dalam paparan setem semasa kemahkotaan Baginda sebagai Sultan Selangor kesembilan pada tahun 2003.
Mencecah 25 tahun pemerintahan Baginda, Pos Malaysia Berhad sekali lagi mencetak 800,000 setem khas edisi terhad yang tertera imej Tuanku selain selain 14,000 sampul surat hari pertama dan 2,600 folder.
Setem tersebut ditampilkan dalam tiga pilihan warna iaitu merah, biru dan kuning yang bersekali simbol diraja sebagai mencerminkan identiti serta keunikan Kesultanan Selangor.

Simbol itu ialah Balairung Seri, Tengkolok Balung Raja, Keris Terapang Gabus dan Bunga Tanjung kelopak sembilan selain hiasan logo rasmi sambutan jubli perak serta jata negeri.
Keunikan turut ditampilkan menerusi penggunaan dakwat cetakan berwarna perak serta teknik spot UV pada imej pasangan diraja, yang menghasilkan kemasan berkilat pada bahagian tertentu.
Reka bentuk bersifat minimalis dan elegan itu melalui beberapa peringkat penambahbaikan sebelum dimuktamad hasil kerjasama Pos Malaysia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurut Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Haidan Abdul Rahman, proses penyediaannya mengambil masa antara lapan hingga 12 bulan meliputi perbincangan dan pemilihan reka bentuk.

Beliau yakin peminat setem ternanti-nanti keluaran baharu termasuk melalui kalangan pengumpul yang memberi tumpuan kepada negeri tertentu atau koleksi berkaitan institusi diraja.
Pos Malaysia lazimnya membuat pengeluaran berbeza-beza mengikut jenis produk dan permintaan pengumpul tetapi keluaran berkaitan institusi diraja lazimnya mendapat perhatian tinggi.
Selain itu, sampul surat hari pertama sentiasa menjadi pilihan pengumpul lantaran ia lengkap setem dan cap pembatalan khas, menjadikan setiap koleksi ada nilai dokumentasi tersendiri.
Bagi pengumpul, nilai sesebuah koleksi bukan terletak pada rupa atau harga jualan, sebaliknya kisah di sebalik penerbitan, keunikan reka bentuk untuk tatapan generasi akan datang.
Menariknya keluaran sempena jubli perak ini, bukan setem sahaja yang dijangka menjadi rebutan ramai. Cap pembatalan khas Klang berkemungkinan besar menjadi tumpuan pengumpul setem.

Istilah cap pembatalan khas setem merujuk kepada cap rasmi atau cop pos (tanda pos) unik keluaran Pos Malaysia khusus untuk peristiwa penting atau pelancaran setem peringatan.
Berbeza cap tarikh biasa yang digunakan di pejabat pos harian, cap istimewa ini ada reka bentuk grafik tersendiri yang melambangkan tema atau acara yang dirai.
Bagi segelintir orang, cap pada sampul surat mungkin sekadar tanda kecil yang menunjukkan setem telah digunakan. Namun, bagi pengumpul setem, cap pembatalan khas ada nilai tersendiri. Ia bukti sejarah yang merakam masa dan tempat terbitan setem.
Haidan berkata sempena pelancaran Setem Jubli Perak Sultan Selangor, pihaknya menyediakan cap pembatalan khas yang tertera logo sambutan Jubli Perak beserta nama tempat.
“Untuk pengumpul, cap ini mempunyai nilai tersendiri kerana kita boleh mengetahui setem berkenaan dikeluarkan pada tarikh dan lokasi yang dinyatakan.

“Bagi keluaran sempena jubli perak, paling istimewa ialah cap pembatalan khas yang tertera nama Klang kerana bandar itu mempunyai kedudukan istimewa sebagai bandar diraja Selangor,” katanya.
Pos Malaysia menyediakan lebih 60 cap pembatalan atas nama lokasi berbeza di seluruh negara, termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan. Istimewanya, cap tertera nama Klang itu hanya didapati di pejabat pos sekitar Klang sahaja.
“Kalau mereka memang hendak beli koleksi dengan cap pembatalan khas tertera perkataan Klang, mereka akan datang ke Klang juga. Mereka tidak akan beli di tempat lain,” katanya lagi.
Setem itu dilancarkan pada 19 Oktober di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam. Ia dijual secara rasmi mulai 20 Oktober di pejabat pos terpilih dan saluran jualan Pos Malaysia.
Syiling perak khas yang dihasilkan Perbendaharaan Negeri Selangor juga dilancarkan dalam majlis tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap 25 tahun pemerintahan Baginda.
Semua keluaran khas itu bukan sahaja memperingati sambutan jubli perak pemerintahan Baginda, malah menjadi khazanah yang boleh disimpan dan diwarisi generasi masa depan.
Turut berkenan berangkat ke pelancaran itu ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Hadir sama, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.








