140 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu JIM Selangor

23 Ogos 2026, 7:30 AM
140 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu JIM Selangor
140 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu JIM Selangor

SHAH ALAM, 23 OGOS: Seramai 140 warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam Operasi Bersepadu di sekitar Petaling dan Klang, awal pagi semalam.

JIM Selangor memaklumkan operasi bermula jam 12 tengah malam itu menyaksikan seramai 252 individu diperiksa hasil risikan dan pemantauan di sekitar Subang Jaya dan Klang.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti melibatkan Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, Seksyen 6(1)(c) antaranya membabitkan kesalahan berada di Malaysia tanpa pas atau permit sah, manakala Seksyen 15(1)(c) berkaitan kesalahan tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas yang dibenarkan.

"Semua individu yang ditahan dibawa untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," jelas agensi penguatkuasaan itu.

JIM Selangor berkata, operasi berkenaan membabitkan 164 pegawai terdiri JIM Selangor, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, operasi itu turut disertai barisan pengurusan tertinggi JIM Selangor sebagai sebahagian usaha memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.

"JIM Selangor akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara profesional dan berintegriti serta memperkukuh kerjasama antara agensi bagi memastikan pematuhan undang-undang.

"Usaha ini juga penting dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman masyarakat," katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.