KUALA LUMPUR, 21 NOV: Malaysia merangkul empat pingat emas menerusi acara lima berpasukan lelaki dan wanita serta all-events lelaki dan wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Asia Doha, Qatar, awal pagi tadi.
Emas itu hadir menerusi skuad lelaki negara yang dibarisi Muhammad Rafiq Ismail, Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin dan Hazim Alihanafiah selepas mengumpul keseluruhan 6,740 jatuhan pin dalam 30 permainan.
Malaysia menamatkan saingan dengan kelebihan 134 jatuhan pin mengatasi Hong Kong yang meraih perak dengan 6,606 jatuhan pin, manakala Arab Saudi membawa pulang gangsa selepas mengumpul 6,589 jatuhan pin.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia kembali menjulang gelaran berpasukan lelaki yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2023 di Hong Kong.
Tun Hakim menjadi penyumbang mata tertinggi negara dengan 1,435 jatuhan pin, diikuti Timmy (1,406), Rafiq (1,362), Izz (1,279) dan Hazim (1,258).
Muhammad Rafiq kemudian menambah koleksi emas negara apabila muncul juara acara all events lelaki selepas mengumpul 5,690 jatuhan pin dalam 24 permainan.
Beliau menamatkan saingan dengan kelebihan 216 jatuhan pin mengatasi Kang Myung Jin dari Korea Selatan yang meraih perak dengan 5,474 jatuhan pin, manakala Michael Mak Cheuk Yin dari Hong Kong meraih gangsa dengan 5,456 jatuhan pin.
Kejayaan itu menyaksikan Rafiq meraih gelaran ketiga berturut-turut dalam acara berkenaan selepas turut memenanginya pada edisi 2023 dan 2024.
Sementara itu, skuad wanita negara turut menamatkan penantian 24 tahun untuk meraih emas acara lima berpasukan wanita menerusi Sin Li Jane, Gillian Lim, Nur Syazwani Sahar, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Faten Najihah Ahmad Faik, dengan mengumpul keseluruhan 6,578 jatuhan pin selepas mengharungi 30 permainan.
Korea Selatan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi 6,540 jatuhan pin, manakala Singapura menduduki tempat ketiga untuk meraih pingat gangsa selepas mengumpul 6,181 jatuhan pin.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Malaysia yang kali terakhir memenangi gelaran berpasukan wanita pada 2002, selain menebus kekecewaan selepas ketinggalan hanya 17 jatuhan pin di belakang Korea Selatan pada kejohanan edisi terdahulu di Bangkok, dua tahun lepas.
Tidak terhenti di situ, Malaysia turut memperoleh satu lagi emas apabila Nur Syazwani Sahar menjuarai acara all events wanita selepas mengumpul 5,407 jatuhan pin dalam 24 permainan, sekali gus mengatasi Paek Yedam dari Korea Selatan yang meraih perak dengan 5,332 jatuhan pin.
Seorang lagi pemain Korea Selatan, Baek Seungja meraih pingat gangsa selepas mengumpul 5,313 jatuhan pin.







