SHAH ALAM, 2 SEPT: Rakyat Malaysia yang berada di Qatar dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa susulan tindakan terbaharu Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.
Kedutaan Besar Malaysia di Doha dalam notis semalam turut meminta rakyat Malaysia mematuhi sebarang arahan atau notis yang dikeluarkan pihak berkuasa Qatar dari semasa ke semasa.
“Susulan daripada tindakan terbaharu Amerika Syarikat terhadap Iran, semua rakyat Malaysia di Qatar dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan perkembangan sekeliling dan notis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar (jika ada).
“Jika anda akan melakukan perjalanan dari atau melalui Qatar, sila semak jadual penerbangan yang terkini bagi memastikan kelancaran perjalanan anda,” menurut kenyataan itu.
Kedutaan turut menyediakan saluran bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan maklumat atau bantuan lanjut.
Mereka boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Doha menerusi talian +974 3374 6733 atau +974 4483 6463, selain e-mel mwdoha@kln.gov.my.
Notis berkenaan dikeluarkan pada 1 September susulan perkembangan keselamatan serantau yang membabitkan AS dan Iran.







