SHAH ALAM, 6 NOV: Seorang lelaki warga Hong Kong dipercayai dalang sindiket pengedaran kokain antarabangsa yang merekrut rakyat Malaysia berdepan masalah kewangan sebagai keldai dadah ditahan polis semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek mempunyai hubungan dengan sindiket dadah di Thailand dan mengatur penghantaran kokain ke Indonesia, Hong Kong serta Jepun, lapor Berita Harian.
Penahanan itu hasil risikan menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia, dengan polis turut merampas 450 gram kokain serta dua pasang kasut dipercayai digunakan untuk menyembunyikan dadah.
"Individu yang memegang pasport Hong Kong itu adalah dalang penyeludupan kokain dari Malaysia. Dia mempunyai hubungan dengan sindiket di Thailand dan merekrut rakyat Malaysia untuk membawa dadah berkenaan ke Indonesia, Hong Kong serta Jepun," katanya pada sidang media hari ini.
Hussein berkata, siasatan dijalankan susulan penahanan 10 rakyat Malaysia berusia 19 hingga 26 tahun di lapangan terbang di Indonesia dan Jepun.
Pada 25 September lalu, lima rakyat Malaysia, terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Lima lagi rakyat Malaysia, membabitkan dua lelaki dan tiga wanita dari Sarawak, ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pada 10 Oktober lalu berhubung rampasan kokain bernilai RM31 juta yang disembunyikan dalam kasut.
Siasatan mendapati kedua-dua kumpulan direkrut sindiket sama untuk membawa dadah menggunakan penerbangan komersial, dengan kasut dijadikan tempat menyembunyikan bahan terlarang itu.
Menurut Hussein, individu yang direkrut lazimnya mengetahui mereka membawa dadah dan terdiri daripada mereka yang berdepan masalah kewangan.
"Mereka kemudian mendekati rakan, kenalan atau individu dalam lingkungan pergaulan yang diketahui mempunyai masalah kewangan," katanya.
Beliau berkata, polis turut mengenal pasti empat individu yang direkrut, terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita dari Sarawak, selain pembekal dadah warga asing.
Tiga daripada mereka ditahan Bukit Aman dan tindakan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala seorang lagi ditahan pihak berkuasa Hong Kong ketika cuba menyeludup dadah ke wilayah berkenaan.
Hussein berkata, pegawai penyiasat Malaysia turut ke Jakarta untuk menemu bual lima rakyat Malaysia yang ditahan di sana bagi mendapatkan maklumat risikan dan mengenal pasti pihak yang mengendalikan sindiket itu.
Siasatan lanjut turut mengenal pasti sumber bekalan kasut yang digunakan untuk menyembunyikan dadah serta lokasi penginapan keldai dadah yang direkrut.
Sindiket berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak September lalu.
Ujian saringan air kencing awal mendapati suspek warga Hong Kong itu positif THC, manakala semakan latar belakang mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah lampau di negara asalnya.
Dua lagi suspek masing-masing mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.
Hussein berkata, operasi itu menunjukkan kepentingan perkongsian risikan rentas sempadan dalam mengenal pasti dalang sindiket, bukan sekadar menahan individu yang bertindak sebagai penghantar dadah.
Polis akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa asing bagi melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa dan menghalang rakyat Malaysia daripada dipergunakan sebagai keldai dadah.







