Kerajaan pertimbang kaji Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya, perkukuh pemulihan penagih

19 Nov 2026, 8:00 AM
Kerajaan pertimbang kaji  Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya, perkukuh pemulihan penagih

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Kerajaan terbuka mempertimbangkan cadangan mengkaji semula Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi memperkukuh pendekatan rawatan dan pemulihan penagih dadah, susulan kesalahan berkaitan dadah yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah banduan sabitan di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kerajaan mengambil maklum cadangan tersebut dan bersedia menilai keberkesanan peruntukan undang-undang sedia ada berdasarkan data semasa serta pengalaman pelaksanaan di lapangan.

“Angka menggambarkan segala-galanya. Jadi, kerajaan mengambil maklum supaya seksyen yang dimaksudkan tadi, Seksyen 15(1) di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dikaji semula.

“Kerajaan sentiasa bersedia untuk menilai keberkesanan undang-undang berdasarkan data dan pengalaman pelaksanaan dengan memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat terus terpelihara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta kerajaan mempertimbangkan pindaan terhadap Seksyen 15(1) akta itu serta mengeluarkan garis panduan kepada pendakwa raya dan majistret agar penagih dadah dialihkan ke pusat pemulihan sejak peringkat tangkapan bagi menangani isu kesesakan penjara.

Wong berkata langkah itu penting memandangkan jumlah banduan meningkat daripada 83,944 orang pada Januari kepada kira-kira 90,000 orang pada Oktober tahun ini, dengan sebahagian besar melibatkan kes berkaitan dengan dadah, walaupun pindaan Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283] telah berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata pindaan Akta 283 berteraskan dasar pengalihan daripada hukuman pemenjaraan kepada rawatan dan pemulihan, namun tidak bermaksud kesalahan jenayah berkaitan dadah dimansuhkan sepenuhnya atau dikeluarkan daripada kerangka undang-undang jenayah.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 12,255 banduan sabitan direkodkan bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 31,827 lagi melibatkan kesalahan pemilikan dadah dalam jumlah kecil.

“Jumlah kedua-dua kumpulan ini mewakili 46.5 peratus daripada keseluruhan 94,780 banduan sabitan yang berada di penjara ketika ini,” katanya.

Shamsul Anuar berkata Akta Dadah Berbahaya 1952 berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, manakala pelaksanaannya melibatkan dua agensi utama di bawah Kementerian Dalam Negeri, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi penguatkuasaan serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi aspek pencegahan, rawatan dan pemulihan.

Beliau berkata pendekatan bersepadu antara penguatkuasaan dengan kesihatan awam itu membolehkan pengesanan awal penagih dilakukan sebelum mereka dirujuk ke program pemulihan, termasuk melalui perintah mahkamah.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.