SHAH ALAM, 19 NOV: Orang ramai disaran mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing sebagai persediaan menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang sedang dilaksanakan secara berfasa.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran dihantar secara serentak kepada telefon serasi di kawasan geografi dikenal pasti.
Menurutnya, sistem berkenaan tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan khusus.
Sebagai panduan awal, keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS adalah seperti berikut, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.
"Apple iPhone: iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini.
"Android: Telefon yang menggunakan Android 12 atau versi terkini.
"Huawei: Telefon yang menggunakan EMUI 16 atau versi terkini," katanya dalam kenyataan hari ini.

SKMM turut menasihatkan pengguna memasang kemas kini perisian terkini, memulakan semula telefon selepas proses berkenaan dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya berkaitan.
Dalam perkembangan sama, suruhanjaya itu memaklumkan telah mengadakan sesi taklimat khas bersama ketua-ketua pengarang media di Cyberjaya hari ini bagi memperkenalkan EWS dan menjelaskan mekanisme penyampaian amaran.
Katanya, sesi berkenaan turut disertai demonstrasi melalui ujian teknikal dalaman di bangunan SKMM.
"MCMC menjelaskan bahawa aktiviti pada 19 November ini merupakan ujian teknikal dalaman bagi tujuan penilaian dan penambahbaikan sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan yang lebih meluas.
"Pelaksanaan ujian pada skala lebih luas akan dibuat secara berfasa," katanya.
Menurut SKMM, pelaksanaan EWS melibatkan kerjasama pihaknya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Katanya, kerjasama tersebut bertujuan memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.
"Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.
"EWS melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi bencana," katanya.








