SHAH ALAM, 15 NOV: Empat stesen pemantauan sungai di Selangor merekodkan paras air tahap bahaya setakat 3 petang ini ketika Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh negeri hingga 6 petang.
Berdasarkan data Portal InfoBanjir JPS Selangor, tiga stesen yang mencatatkan paras bahaya terletak di daerah Kuala Selangor, manakala satu lagi di Klang.
Antara stesen terbabit ialah Teluk Penyamu Jeti di Kuala Selangor dengan bacaan 6.254 meter, diikuti Pintu Air Sungai Yu 1 (3.474 meter), Pintu Air Ijok (3.72 meter) dan Tugu Keris (F2) di Klang (4.279 meter).
Selain itu, empat stesen turut berada pada tahap amaran, manakala enam lagi merekodkan tahap waspada.
Antara bacaan yang melepasi tahap amaran ialah Kampung Asahan di Kuala Selangor dengan 2.747 meter dan Tugu Keris di Klang (3.77 meter).
Sementara itu, Rantau Panjang di Kuala Selangor merekodkan bacaan 5.66 meter, manakala Kampung Johan Setia di Klang mencatatkan 4.12 meter.
Dalam perkembangan berkaitan, pemantauan taburan hujan di sembilan daerah menunjukkan 31 stesen merekodkan hujan lebat, manakala tiga lagi mencatatkan hujan sangat lebat.
Klang merekodkan jumlah stesen hujan lebat tertinggi iaitu 11, selain satu stesen mencatatkan hujan sangat lebat.
Sabak Bernam pula merekodkan dua stesen dengan hujan sangat lebat dan empat lagi mencatatkan hujan lebat, manakala Kuala Selangor dan Sepang masing-masing mempunyai lima stesen yang merekodkan hujan lebat.
Daerah lain yang turut mencatatkan hujan lebat ialah Kuala Langat dan Petaling dengan masing-masing tiga stesen.







