
SHAH ALAM, 19 NOV: Pengguna laluan antara Shah Alam dan Kuala Selangor akan lebih selesa selepas jalan raya dua hala dilebar kepada empat lorong dijadual dibina mulai tahun depan.
Menurut EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim, untuk itu sebanyak RM128 juta diperuntuk bagi menaik taraf Persiaran Mokhtar Dahari (B49) sepanjang empat kilometer di Puncak Alam, Kuala Selangor.
Katanya, langkah berkenaan penting ekoran ia menjadi laluan pintas penduduk setempat ke Lebuhraya Koridor Guthrie selain kesesakan disebabkan pembukaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH).
"Keperluan sebenar bagi Persiaran Mokhtar Dahari adalah enam lorong dua hala berdasarkan kajian pembangunan Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR).
"Bagaimanapun, kita minta Jabatan Kerja Raya (JKR) meneliti semula jajaran supaya tidak berlaku keadaan jalan yang lebar di satu bahagian tetapi mengecil di laluan lain sehingga berlaku kesesakan," katanya kepada Media Selangor.
Ir Izham berkata kerja menaik taraf Jalan FT1210 kepada enam lorong dari persimpangan Jalan B49/Jalan Bukit Cherakah hingga persimpangan Jalan Bukit Cherakah/Jalan Kuala Selangor (FT54) pula dijangka siap pada September 2027.
Katanya, projek berkenaan merangkumi pembinaan jambatan baharu sehala dua lorong merentasi Sungai Buloh bagi menampung pertambahan trafik berdasarkan Kajian Impak Trafik.
"Matlamat Kerajaan Negeri untuk membangunkan Puncak Alam sebagai sebuah bandar yang mempunyai jaringan perhubungan lebih baik dan mudah diakses," katanya.
Beliau juga memberitahu projek infrastruktur di kawasan berkenaan turut mengambil kira sumbangan pemaju yang disyarat bagi menaik taraf jalan ketika pembangunan itu diluluskan.
Namun, jadual pelaksanaan menaik taraf tersebut kadangkala tertangguh apabila pembangunan yang sepatutnya dilaksana pemaju sama ada belum siap atau belum bermula.






