KKM teliti dasar rawatan warga asing, elak beban kewangan kerajaan

17 Nov 2026, 2:07 AM
KKM teliti dasar rawatan warga asing, elak beban kewangan kerajaan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa meneliti dasar penggunaan perkhidmatan kesihatan oleh bukan warganegara bagi memastikan kemudahan itu tidak menimbulkan beban kewangan tidak wajar kepada kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara langkah diambil ialah memperkukuh pengurusan dan pemantauan Tunggakan dan Akaun Belum Terima (ABT) bil perubatan bukan warganegara, termasuk menerusi tindakan kutipan serta pengeluaran notis undang-undang.

Menurutnya, bukan warganegara yang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM dikenakan caj tanpa subsidi berdasarkan Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014, berbeza daripada kadar bayaran bagi warganegara.

"KKM juga melaksanakan pendekatan 'collect before discharge', iaitu memperkukuh kutipan deposit dan bayaran semasa pesakit masih berada di wad, di samping meluaskan penggunaan saluran pembayaran tanpa tunai dan digital bagi memudahkan pesakit membuat bayaran dengan lebih cepat," katanya.

Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu perancangan kementerian untuk mengehadkan akses perkhidmatan kesihatan dan fasiliti perubatan awam kepada warga Malaysia sahaja bagi mengelakkan kebanjiran warga asing dan pelarian yang didakwa membebankan kewangan kerajaan serta pembayar cukai.

Dzulkefly berkata, KKM mengakui sumber kewangan dan kapasiti sistem kesihatan awam adalah terhad, justeru keutamaan perlu diberikan kepada rakyat Malaysia sebagai pembayar cukai dan penyumbang utama pembiayaan sistem berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kementerian tidak merancang untuk menutup akses perkhidmatan kesihatan awam secara mutlak kepada bukan warganegara setakat ini.

"Bagi golongan pelarian dan pemohon suaka pula, KKM berpandangan bahawa tanggungjawab pembiayaan rawatan tidak sewajarnya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.

"Oleh itu, KKM sedang meneliti pendekatan pembiayaan yang lebih mampan, termasuk mewajibkan perlindungan insurans kesihatan bagi memastikan kos rawatan dapat ditanggung melalui sumber pembiayaan yang bersesuaian," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keutamaan penggunaan sumber awam adalah kepada warganegara, terutama ketika kapasiti fasiliti, sumber manusia dan kedudukan kewangan kerajaan adalah terhad.

Namun, KKM turut mengambil kira keperluan rawatan kecemasan, kawalan penyakit berjangkit serta pertimbangan kemanusiaan dan kesihatan awam yang boleh memberi implikasi terhadap keselamatan masyarakat secara keseluruhan.

"Justeru, pendekatan KKM pada masa ini bukan dengan menutup akses secara mutlak kepada bukan warganegara, sebaliknya memastikan akses itu dikawal melalui dasar caj, syarat bayaran serta mekanisme kutipan dan tuntutan bayaran yang bersesuaian supaya kepentingan rakyat Malaysia dan kelestarian kewangan sistem kesihatan awam terus terpelihara," katanya.

Beliau berkata, penyelesaian jangka panjang terhadap isu tunggakan bil perubatan pesakit bukan warganegara memerlukan pendekatan rentas kementerian dan agensi.

Sehubungan itu, KKM berharap kementerian serta agensi berkaitan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan kawalan terhadap kemasukan serta pengurusan warga asing, khususnya membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelarian.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.