10,036 pesakit menanti organ, kerajaan susun langkah perkasa pendermaan

3 Nov 2026, 3:21 AM
10,036 pesakit menanti organ, kerajaan susun langkah perkasa pendermaan

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Seramai 10,036 pesakit di Malaysia memerlukan pemindahan organ setakat 15 Oktober lalu, ketika kadar pendermaan organ selepas kematian negara masih rendah, iaitu hanya 1.33 penderma bagi setiap sejuta penduduk (pmp).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan perlu memperkukuh tadbir urus serta kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi meningkatkan usaha pendermaan organ serta memastikan proses pemindahan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

“Langkah drastik ini amat mendesak. Bayangkan, sehingga 15 Oktober lalu, seramai 10,036 pesakit kita sedang bertarung nyawa bergelut dengan kegagalan organ.

“Kita tidak boleh lagi bekerja secara 'silo' dan membiarkan ribuan pesakit ini menanti tanpa kesudahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Transplan Kebangsaan (MTK) bagi menyelaras kerjasama rentas kementerian dalam memperkukuh ekosistem pendermaan dan pemindahan organ negara di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 2 November 2026. Foto Facebook Dr Dzulkefly Ahmad.

Terdahulu, Dr Dzulkefly mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Transplan Kebangsaan (MTK), yang berperanan menerajui agenda nasional untuk mereformasi ekosistem pendermaan organ dan transplan menerusi pendekatan seluruh kerajaan.

Menurutnya, MTK menyelaras penglibatan pelbagai kementerian dan agensi dalam aspek logistik, pembiayaan serta penyediaan panduan berkaitan hukum agama bagi memperkukuh keseluruhan proses pendermaan organ.

Antara langkah yang diberi tumpuan ialah penyelarasan logistik udara kecemasan menerusi perkhidmatan Mercy Flight dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Pertahanan.

Penghantaran organ turut dibantu pengiring pantas (Outrider) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan risiko kelewatan ketika organ dibawa ke hospital.

Dalam pada itu, kerajaan sedang meneliti cadangan mengintegrasikan status pengikrar pendermaan organ pada lesen memandu menerusi kerjasama Kementerian Pengangkutan.

Usaha memperkukuh ekosistem berkenaan turut melibatkan Kementerian Kewangan bagi memastikan pembiayaan yang mampan, selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam penyediaan panduan hukum agama yang jelas.

Dzulkefly berkata, pembaharuan itu dijangka membawa manfaat kepada pesakit dan keluarga penderma, antaranya menerusi sistem pengagihan organ yang lebih telus serta saksama berdasarkan keutamaan klinikal.

“Pengagihan organ akan menjadi jauh lebih telus dan saksama berasaskan keutamaan klinikal,” katanya.

Beliau berkata, proses pendermaan juga perlu mematuhi Akta Tisu Manusia 1974 serta ketetapan fatwa agama bagi memastikan hasrat penderma dihormati, manakala rantaian logistik yang lebih cekap membolehkan organ tiba di bilik bedah secepat mungkin.

Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus mempergiat kempen “Warisku, Hormati Ikrarku” bagi memelihara hasrat penderma dan menghormati keluarga mereka.

“Menghormati ikrar ini dan menyantuni sinar harapan pesakit yang menanti adalah amanah kita bersama,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.