Doktor udara digantung, 16 kawasan pedalaman Sarawak tiada akses alternatif

17 Nov 2026, 12:38 AM
Doktor udara digantung, 16 kawasan pedalaman Sarawak tiada akses alternatif

SHAH ALAM, 17 NOV: Sebanyak 16 kawasan pedalaman Sarawak tidak mempunyai akses pengangkutan alternatif melalui jalan darat atau air susulan penggantungan sementara Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) sejak September lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kawasan terbabit merupakan sebahagian daripada 85 lokaliti yang terjejas akibat penangguhan perkhidmatan berkenaan selepas nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram.

Menurutnya, penggantungan operasi itu perlu bagi membolehkan siasatan dan penilaian menyeluruh terhadap aspek keselamatan serta pengoperasian PDU dilaksanakan.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil beberapa langkah bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, khususnya ketika kecemasan.

“Ia melalui pengoptimuman laluan darat dan air, pengaktifan mekanisme rujukan dan pengangkutan alternatif serta keutamaan kepada lokaliti berdasarkan risiko klinikal, tahap keterpencilan dan ketersediaan akses alternatif.

“Sepanjang tempoh penggantungan sementara operasi PDU, KKM memastikan setiap kes kecemasan diberikan tindakan segera berdasarkan tahap keutamaan klinikal pesakit melalui perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) atau mod pengangkutan alternatif bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen bagi menjawab pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok).

Mohd Nazri meminta penjelasan mengenai jumlah kawasan terjejas, alternatif perkhidmatan disediakan serta tempoh maksimum pesakit mendapatkan rawatan kecemasan susulan penggantungan PDU.

Dzulkefly berkata KKM turut bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi berkaitan bagi mengendalikan kes kecemasan di kawasan pedalaman.

Menurutnya, pelaksanaan bantuan mengambil kira keadaan cuaca, laluan, ketersediaan aset dan keselamatan operasi bagi memastikan pesakit mendapat rawatan sewajarnya.

Pada 8 September lalu, sebuah helikopter PDU terhempas berhampiran Long Lellang, Ulu Baram ketika dalam perjalanan menjalankan perkhidmatan perubatan udara.

Nahas itu mengorbankan lima individu termasuk juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; Pegawai Perubatan, Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33; Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.