117,746 unit kediaman belum selesai isu hak milik strata, GLC dicadang bantu

16 Nov 2026, 12:03 PM
117,746 unit kediaman belum selesai isu hak milik strata, GLC dicadang bantu

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri dicadang melantik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor hartanah sebagai ‘pemohon terakhir’ bagi menyelesaikan isu hak milik strata membabitkan 117,746 unit kediaman di 662 skim perumahan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing R Rajiv berkata langkah itu bagi membantu pemilik rumah mendapatkan hak milik strata apabila pemaju gagal, enggan atau tidak lagi mampu mengemukakan permohonan.

Menurutnya, GLC seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) boleh diberi tanggungjawab mengemukakan permohonan bagi pihak pemaju, manakala kos berkaitan dituntut semula daripada pihak terbabit.

“Banyak GLC terlibat dengan sektor pemajuan hartanah, ada MBI dan PKNS. Lantiklah satu atau dua daripada GLC ini dan beri tanggungjawab untuk mohon hak milik strata pemaju yang enggan memohon hak milik strata.

“Ini untuk memastikan 662 skim melibatkan 117,000 unit ini diselesaikan menjelang 2030,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Rajiv berkata, pada kadar penyelesaian sekitar 3,000 unit setahun, isu berkenaan boleh mengambil masa hampir 40 tahun untuk diselesaikan sekiranya hanya ditangani secara berperingkat.

Justeru, beliau mencadangkan Kerajaan Negeri menetapkan sasaran dan garis masa yang jelas sehingga 2030 bagi memastikan setiap skim terbabit mempunyai status penyelesaian yang boleh dipantau.

Beliau berkata, pemaju yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka juga perlu dikenakan tindakan tegas, termasuk pendakwaan sekiranya enggan bekerjasama.

“Saya cadang mendakwa pemaju yang ingkar, yang enggan beri kerjasama atau enggan bertanggungjawab di mahkamah. Jangan biar pemaju lepas daripada tanggungjawab mereka.

“Saya harap setiap sidang Dewan dapat beri maklumat berapa pemaju yang didakwa dan apa perkembangan kes tersebut. Selangor adalah negeri maju, kita nak kehidupan bermaruah bagi rakyat kita. Pastikan kita selesaikan perkara ini,” katanya.

Kerajaan Negeri sebelum ini memperuntukkan RM10 juta menerusi Dana Strata Selangor bagi menyelesaikan isu pembangunan tanpa hak milik strata terutama membabitkan pangsapuri lama.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.