SHAH ALAM, 11 NOV: Urusan pentadbiran tanah di Selangor semakin pantas dan mudah menerusi pelaksanaan sistem e-Tanah yang merekodkan kutipan hasil RM7.209 bilion sepanjang tiga tahun sejak diperkenalkan pada Oktober 2023.
BH melaporkan sistem itu turut mencatatkan kadar penyelesaian 89.22 peratus bagi urusan pindah milik tanah dalam tempoh satu hari bekerja, selain membolehkan lebih 75 peratus daripada keseluruhan 1.5 juta transaksi dilaksanakan secara dalam talian.
Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor, Datuk Dr Yusri Zakariah berkata sebanyak 377 jenis urusan tanah berjaya didigitalkan menerusi sistem berkenaan sehingga 2026.
Menurutnya, Portal Awam e-Tanah turut merekodkan 326,413 pengguna berdaftar, manakala lebih 3.39 juta rekod hak milik tanah dan strata kini diuruskan menerusi sistem berkenaan.
Pencapaian itu dikongsikan sempena Konvensyen e-Tanah Negeri Selangor 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 10 November di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Konvensyen anjuran Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) itu menghimpunkan pembuat dasar, pentadbir tanah, agensi kerajaan, pihak industri dan pemegang taruh bagi memperkukuh transformasi digital pentadbiran tanah negeri.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan transformasi digital pentadbiran tanah perlu terus diperkukuh menerusi penggunaan teknologi inovatif, tadbir urus data yang mantap serta amalan keselamatan siber menyeluruh.
Langkah itu penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap, telus dan mendapat keyakinan rakyat.
Pada konvensyen sama, PTGS turut memperkenalkan Anugerah Penyampaian Prestasi Cemerlang Sistem e-Tanah Negeri Selangor buat julung kali bagi mengiktiraf kecemerlangan pelaksanaan sistem berkenaan di peringkat negeri.
PDT 1, PDT 2 dan PDT 3 diumumkan sebagai penerima anugerah berdasarkan pencapaian dalam aspek penggunaan, pengurusan dan pelaksanaan sistem e-Tanah.
Selain itu, konvensyen berkenaan turut memberi tumpuan kepada keselamatan siber, inovasi digital dan penerokaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan perkhidmatan pentadbiran tanah.
PTGS turut membangunkan Pelan Keselamatan Siber PTGS bagi memperkukuh keselamatan ekosistem digital organisasi, selaras usaha berterusan Kerajaan Negeri memodenkan pentadbiran tanah di Selangor.







