SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri akan meneliti kemungkinan memperluas penggunaan sistem imbasan kehadiran automatik yang pernah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama ke sekolah lain, khususnya di kawasan berisiko.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu antara intervensi keselamatan yang diberi perhatian susulan beberapa insiden di sekolah, dengan penyelarasan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
“Intervensi di SMK Damansara Utama sebelum ini melibatkan perolehan sistem bagi membantu pihak sekolah membuat pengecaman fizikal pelajar melalui imbasan kehadiran secara automatik.
“Saya akan meneliti itu kembali apa yang telah kita bantu di Damansara Utama untuk dibuat, terutama di tempat-tempat berisiko,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DN) di sini, hari ini.

Amirudin berkata teknologi yang dibangunkan di daerah Kuala Langat itu membolehkan kehadiran pelajar direkodkan secara automatik menggunakan pengecaman wajah dan nama.
“Pengesanan masuk atau ‘free automatic registration’ menggunakan wajah dan nama pelajar tersebut, kaedah ini sekali gus memberi ‘alert’ kepada ibu bapa. Jadi ibu bapa tahu anaknya datang sekolah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata aspek kos perlu diteliti kerana sistem berkenaan membabitkan perbelanjaan besar, dengan anggaran caj antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelajar.
Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut melihat keperluan kawalan masuk bagi mengesan bahan berbahaya serta menghalang individu tidak berkaitan memasuki kawasan sekolah.
“Dengan membenarkan kawalan masuk, sama ada untuk pengesanan sebarang bahan berbahaya yang melibatkan besi, pisau termasuk mengelakkan individu yang tidak sewajarnya masuk,” katanya.
Mengenai cadangan penyediaan warden trafik, beliau berkata perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan JPN Selangor, terutama bagi sekolah di kawasan yang mengalami kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, peruntukan sedia ada akan diteliti bagi menyediakan warden trafik sama ada melalui pelantikan individu atau syarikat.
“Penyelarasan dengan pihak polis juga akan dilaksanakan secara berterusan termasuk membabitkan sekolah agama di bawah pengurusan JAIS,” katanya.







