KLANG, 15 NOV: Selangor berhasrat menjadi negeri progresif yang menyantuni rakyat serta mempertahankan institusi masyarakat, selaras dengan aspirasi dinyatakan ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2027.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha mempertahankan institusi itu bukan mudah apabila terdapat pihak yang menganggapnya tidak penting, selain pengaruh media sosial yang mengubah pandangan dan cara hidup masyarakat.
“Semalam (13 Nov), baru saya bentangkan Belanjawan Negeri dengan cita-cita ingin menjadikan Selangor sebagai progresif, menjadi negeri menyantuni rakyat dan mempertahan institusi-institusi.
“Ia bukan satu benda yang senang dan mudah kerana mutakhir ini, ada elemen-elemen yang melawan institusi dan merasakan tidak penting.
“Daripada sekecil-kecil institusi masyarakat, keluarga, pentadbiran dan pengurusan. Ini kerana masing-masing dah biasa dengan media sosial yang mengubah pandangan dan cara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Deepavali Peringkat Negeri Selangor di Dataran Klang di sini, malam tadi.
Amirudin turut menegaskan bahawa pentadbiran negeri akan terus berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan mempertahankan kepelbagaian masyarakat.
“Saya tegaskan satu keyakinan bahawa negeri ini, kumpulan yang diberikan amanah untuk mentadbir tetap tegas atas jalan kesederhanaan, tetapi yakin dan istiqamah di atas jalan kepelbagaian kerana negeri harus keluar, dielakkan, dijaga atau dikepung kumpulan ekstrem yang merosakkan hubungan kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata pentadbiran negeri perlu mengelakkan kumpulan ekstrem yang merosakkan hubungan kaum dan agama, selain terus menghormati undang-undang serta perlembagaan.
“Kita berada di jalan yang betul mempertahankan negeri ini, sebab itu kita teruskan mempertahankan multiculturalism di Selangor. (Kita)... mengangkat martabat semua kaum dan agama, beri peluang bersuara tetapi pada masa sama hormati undang-undang dan perlembagaan kerana kita ada institusi kena jaga dari raja, Parlimen, negeri hingga kerajaan... keluarga yang harus dijaga,” katanya.








