Tukang masak Malaysia ditahan bersama ganja RM2.3 juta di Mauritius

29 Okt 2026, 12:36 PM
Tukang masak Malaysia ditahan bersama ganja RM2.3 juta di Mauritius

SHAH ALAM, 29 OKT: Seorang tukang masak warga Malaysia berusia 55 tahun ditahan di Mauritius selepas disyaki membawa 17 bungkusan bahan disyaki ganja bernilai RM2.3 juta yang disembunyikan dalam bagasinya pada 23 Oktober lalu.

Lelaki itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam selepas tiba dari Dubai menaiki penerbangan Emirates EK709.

Pihak Berkuasa Hasil Mauritius (MRA) memaklumkan suspek ditahan ketika melalui laluan hijau kastam selepas dikenal pasti menerusi pemeriksaan profil penumpang dan sesi soal jawab.

"Imbasan terhadap bagasi daftar masuk suspek menunjukkan sesuatu yang mencurigakan, menyebabkan pemeriksaan fizikal dilakukan.

"Pemeriksaan menemukan 17 bungkusan plastik hitam yang dibungkus secara kedap udara dan disembunyikan di celah pakaian," katanya.

Menurut MRA, setiap bungkusan mengandungi bahan tumbuhan hijau disyaki ganja dengan anggaran berat kasar keseluruhan 17.92 kilogram.

Semua bahan berkenaan dirampas pegawai Bahagian Anti Narkotik Kastam (CANS) sebelum siasatan lanjut dijalankan Unit Anti Dadah dan Penyeludupan (ADSU).

Sementara itu, portal News Moris yang memetik Defi Media melaporkan polis menjalankan operasi mengesan individu yang dipercayai bakal menerima bekalan dadah berkenaan dengan menggantikan bahan rampasan menggunakan bungkusan tiruan.

Bagaimanapun, operasi itu gagal selepas tiada individu tampil mengambil bungkusan tersebut.

Polis turut merampas telefon bimbit suspek untuk analisis forensik, wang tunai 8,150 rupee Mauritius (RM697) serta sejumlah mata wang Malaysia dan Thailand.

Suspek dilaporkan masih dalam tahanan polis dan berdepan pertuduhan awal berkaitan penyeludupan dadah berbahaya dengan dakwaan pengedaran.

Penahanan itu merupakan kes kedua membabitkan rakyat Malaysia di Mauritius tahun ini selepas seorang lelaki berusia 70 tahun ditahan di lapangan terbang sama pada 15 September lalu bersama 6.18 kilogram ganja bernilai 9.27 juta rupee Mauritius (RM793,000).

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.