Kes dadah: Saringan mesin pengimbas KLIA tidak kesan imej mencurigakan dalam bagasi juruterbang

3 Ogos 2026, 9:55 AM
Kes dadah: Saringan mesin pengimbas KLIA tidak kesan imej mencurigakan dalam bagasi juruterbang

SHAH ALAM, 3 OGOS: Pemeriksaan terhadap bagasi seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia pada 28 Julai lalu tidak menemukan sebarang imej mencurigakan ketika melalui saringan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata bagasi juruterbang telah diperiksa menggunakan mesin pengimbas berteknologi kecerdasan buatan (AI) sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Indonesia, lapor Berita Harian.

Beliau berkata juruterbang itu turut melepasi semua prosedur saringan keselamatan sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

"Dalam saringan yang dilakukan seperti biasa menggunakan mesin pengimbas, beg yang dibawa tidak menunjukkan sebarang imej mencurigakan.

"Justeru, bagasi itu melepasi saringan keselamatan yang dilaksanakan di KLIA," katanya pada sidang media di KLIA hari ini.

Ditanya sama ada bekalan dadah seberat 26 kilogram (kg) yang ditemui dan dirampas Bahagian Cukai dan Kastam Indonesia diterima dan dibawa oleh juruterbang sama selepas pemeriksaan mesin pengimbas, Mohd Shuhaily menyerahkan perkara itu kepada siasatan pihak Polis Diraja Malaysia.

"Saya tidak dapat mengulas perkara ini, namun akan diperoleh berdasarkan siasatan dan maklumat yang diterima oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.