ad

Kerusi Yang Telah Dipecat

26 Sep 2025, 4:27 PM
Kerusi Yang Telah Dipecat
Kerusi Yang Telah Dipecat

semalam ku temui sebuah kerusi

yang telah dipecat daripada pekerjaannya.

kubilang, kau punya pengalaman yang cukup

panjang, kenapa khidmatmu tamat begitu sahaja?

mana tidak katanya; diamdiam ia patah rebah

kerana menanggung berat ucapan si tuan di khalayak

umum, bertumpuk tak pernah dikota tapi janjinya seperti

sudah sampai di syurga.

selepas itu, ia kerja dengan sepasang suami isteri

melarat siang malam melacur kudrat; diamdiam ia

juga patah rebah oleh nasib keduaduanya, paling tidak

menanggung tiga jenis pekerjaan, kota sebagai majikan

tanpa kenal ampun.

dengan mereka katanya; ia memecat diri sendiri, sebelum

hancur menjadi abu sepenuhnya bawah tungku, saban

hari bosan menanak nasi kosong digaul garam dan

telur mata kerbau.

Stefanie Kaso