Selangor cadang naik elaun guru KAFA kepada RM1,700

28 Apr 2026, 4:26 AM
Selangor cadang naik elaun guru KAFA kepada RM1,700

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri akan mengemukakan kertas cadangan berhubung kenaikan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada bulan hadapan, kata EXCO Agama Islam.

Dr Muhammad Fahmi Ngah berkata cadangan kenaikan elaun daripada RM1,500 kepada RM1,700 itu disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selepas mengambil kira peningkatan kos sara hidup semasa.

"Justifikasi penyelarasan elaun guru KAFA agar setimpal dengan beban tugas dan ekonomi semasa adalah waktu bertugas lima jam sehari sahaja selama lima hari seminggu dan lokasi bertugas berhampiran alamat tempat tinggal.

"Penyelarasan elaun guru KAFA dapat menarik minat permohonan menjadi guru sekaligus mengekalkan warga pendidik itu di sekolah.

"Guru-guru KAFA juga boleh mendapatkan bantuan di beberapa agensi disediakan Kerajaan Negeri iaitu Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor," katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sabak Sallehen Mukhyi berhubung langkah menyemak dan menaikkan elaun guru KAFA pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Muhammad Fahmi berkata, Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan dalam bentuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan kebajikan guru KAFA terpelihara, selain menyediakan cuti khas, kematian, sakit Kritikal serta menunaikan haji dan umrah.

"Guru KAFA juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) ke peringkat tertinggi dan mengikuti kursus peningkatan prefesionalisme," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.