Baucar buku RM200 diperluas, manfaat 2,000 pelajar Selangor

13 Nov 2026, 11:45 AM
Baucar buku RM200 diperluas, manfaat 2,000 pelajar Selangor

SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 2,000 pelajar terdiri daripada mahasiswa Selangor dan pelajar Pra-Universiti di Kolej Tingkatan Enam bakal menerima Baucar Buku Kita Selangor bernilai RM200 mulai tahun depan.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM400,000 itu bertujuan memupuk budaya membaca serta memastikan kekangan kewangan tidak menghalang anak muda mendapatkan bahan bacaan.

"Meskipun perantara komunikasi zaman ini dilihat lebih popular dalam bentuk reels ataupun gambar berbanding tulisan, namun anak muda pada hari ini masih gemar menekuni bahan bacaan dan menunjukkan minat membaca.

"Kerajaan Negeri tidak ingin melihat cabaran kewangan menjadi penghalang kepada mahasiswa atau pelajar untuk menjadikan membaca sebagai budaya hidup mereka," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan baucar buku itu merupakan tekad pentadbiran negeri dalam membina masyarakat yang berkeyakinan dan berilmu di Selangor.

Sebelum ini, Amirudin melancarkan pemberian e-baucar buku mahasiswa Kita Selangor yang memanfaatkan 1,000 mahasiswa dengan peruntukan keseluruhan RM200,000.

Menerusinya, 1,000 mahasiswa anak Selangor yang menuntut di Insitutsi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menerima e-baucar buku Kita Selangor bernilai RM200 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Pemberian baucar buku Kita Selangor kemudian diperluas kepada pelajar tingkatan enam bagi membantu pelajar membeli buku rujukan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.