Baucar buku RM100 diteruskan untuk pelajar menengah, IPTA - PM

29 Mei 2026, 6:22 AM
Baucar buku RM100 diteruskan untuk pelajar menengah, IPTA - PM

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian baucar buku RM100 bagi pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan penuntut Insitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Beliau berkata inisiatif itu diteruskan bagi tahun ini dan boleh digunakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung selama 10 hari bermula hari ini hingga 7 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

"Bantuan RM100 yang diberikan sejak beberapa tahun lepas, kini disalurkan secara terus. Jadi, apabila anda membeli buku, anda akan menikmati diskaun tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan PBAKL 2026 di sini hari ini.

Perdana Menteri turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak menggunakan baucar berkenaan sepenuhnya bagi mendapatkan bahan bacaan yang bermanfaat dan tidak sekadar menyimpannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 20 Mei 2026. Turut sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. Foto BERNAMA

Selain itu, beliau berkata PBAKL wajar diadakan untuk mendedahkan serta memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda terutama dalam dunia moden.

Selain itu, Anwar berkata trend masyarakat masa kini yang hanya bergantung kepada media sosial untuk mencari jawapan bagi permasalahan kompleks menyebabkan minat membaca semakin terhakis.

Perdana Menteri turut menggesa warga pendidik supaya memberi penekanan terhadap amalan mendalami ilmu dalam pelbagai bidang termasuk agama, sains dan kecerdasan buatan (AI) selain meningkatkan penguasaan literasi digital.

Beliau berkata walaupun kerajaan melaksanakan langkah penjimatan dalam beberapa sektor bagi memastikan kestabilan kewangan negara, aspek pendidikan dan budaya ilmu tidak akan diketepikan.

Anwar berkata setiap kementerian dan agensi telah diminta mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu bagi memastikan kedudukan ekonomi negara kekal kukuh.

“Semua kementerian penting, semua fokus penting, tetapi dalam keadaan sekarang semua harus waras dan bijak. Kita kena tahu masalah, perbaiki kelemahan, kurangkan kos yang perlu dan pada masa sama menetapkan keutamaan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.