SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan dan Penyelarasan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pelaksanaan Dasar Speed Selangor berjalan teratur serta selaras dengan garis panduan negeri.
EXCO Pelaburan, Ng Sze Han berkata walaupun tiada petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan pada peringkat awal, kewujudan jawatankuasa itu penting bagi memastikan dasar tersebut dilaksanakan secara menyeluruh.
“Jawatankuasa berkenaan akan berperanan memantau pematuhan, mengenal pasti isu serta cabaran pelaksanaan, dan mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada Jawatankuasa Peringkat Negeri secara berkala.
“Di peringkat negeri pula, pemantauan menyeluruh Dasar Speed Selangor akan diselaraskan oleh Selangor Implementation and Performance Monitoring Unit (SIAP) di bawah Jawatankuasa Khas Pemantauan Projek Berimpak Tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Bukit Lanjan, Pua Pei Ling berhubung keberkesanan pelaksanaan Dasar Speed Selangor dalam menarik pelaburan baharu pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Sze Han berkata, dasar tersebut mempunyai potensi besar meningkatkan pelaburan strategik negeri, selain memastikan tumpuan diberikan kepada projek berimpak tinggi yang menyokong pembangunan sosioekonomi.
“Dengan dasar ini, tempoh kelulusan pembangunan dapat dipendekkan, sekali gus membantu pelabur memulakan operasi dengan lebih cepat, mengurangkan kos kewangan serta meminimumkan isu pembangunan yang berbangkit.
“Apabila syarikat dapat memulakan operasi lebih awal, peluang pekerjaan dapat ditawarkan dengan kadar segera kepada rakyat setempat, selain limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan di sekitar kawasan pembangunan,” ujarnya lagi.
Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperkenalkan Dasar Speed Selangor bagi memendekkan tempoh kelulusan kebenaran merancang kawasan industri daripada 3.5 bulan kepada 14 hari.
Menurutnya, dasar itu juga selari dengan agenda Kerajaan Negeri sebagai pemudah cara perniagaan serta memberi tumpuan kepada industri baharu yang mahu bertapak di Selangor.




