
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7.2 juta bagi meneruskan program tajaan penuh ibadah haji kepada golongan asnaf fakir miskin serta pemberian insentif kepada jemaah haji Selangor pada 2027.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu, RM1.2 juta disediakan bagi program Tajaan Penuh Jemaah Haji Selangor, manakala RM6 juta untuk Insentif Muassasah Haji.
Menurutnya, kedua-dua inisiatif itu diteruskan bagi membantu rakyat Selangor menunaikan rukun Islam kelima, khususnya golongan kurang berkemampuan.
“Demi kesinambungan usaha ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif penghantaran kumpulan asnaf fakir miskin yang berhajat menunaikan rukun Islam kelima.
“Bagi kelangsungan seperti tahun-tahun sebelumnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.2 juta bagi Tajaan Penuh Jemaah Haji Selangor untuk tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Amirudin berkata Insentif Muassasah Haji turut diteruskan dengan pemberian RM1,500 kepada setiap jemaah haji Selangor di bawah program berkenaan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri mula melaksanakan inisiatif tajaan penuh ibadah haji kepada golongan berpendapatan rendah pada 2022 bagi meringankan beban kewangan mereka.
“Kerajaan Negeri telah memulakan usaha menaja penuh jemaah Haji di kalangan golongan berpendapatan rendah di Selangor pada tahun 2022 bagi memastikan Dhuyufurrahman dapat menunaikan Haji dengan selesa,” katanya.
Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion, merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.







