Kerja turapan tergendala, trafik sesak di Persiaran Mokhtar Dahari

13 Nov 2026, 3:54 AM
Kerja turapan tergendala, trafik sesak di Persiaran Mokhtar Dahari

SHAH ALAM, 13 NOV: Kesesakan lalu lintas di Persiaran Mokhtar Dahari (B49) berhampiran Green Hill pagi tadi berpunca daripada kerja turapan jalan yang tergendala susulan hujan lebat.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor memaklumkan sebahagian lorong terpaksa ditutup bagi membolehkan kerja pembaikan turapan (mill & pave) yang dilaksanakan pada waktu malam disiapkan.

Menurut jabatan itu, kerja berkenaan perlu dijalankan berikutan keadaan permukaan jalan yang tidak memuaskan, dengan jadual pelaksanaan ditetapkan antara jam 10 malam hingga 5 pagi.

“Kerja turapan ini perlu dilaksanakan kerana keadaan jalan tidak memuaskan dan jadual pelaksanaan kerja yang dirancang adalah di antara jam 10 malam hingga 5 pagi.

“Bagaimanpun, hujan lebat di kawasan tapak kira-kira jam 4 pagi menyebabkan baki kerja turapan terpaksa dihentikan sementara.

“Permukaan jalan yang telah dimilling (kerja pengorekan lapisan sedia ada) tidak selamat untuk dilalui, lorong berkenaan terpaksa ditutup sehingga kerja penurapan diselesaikan demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, kerja turapan diteruskan selepas hujan berhenti dan melepasi anggaran masa asal yang dijadualkan siap.

“Lorong yang terlibat dibuka semula pada jam 9.00 pagi tadi. Penyelarasan bersama pihak polis trafik bagi membantu kawalan lalu lintas buat sementara waktu bagi melancarkan aliran trafik di kawasan terlibat.

“JKR Selangor akan membuat hebahan di dalam media sosial lebih awal bagi jalan yang akan terlibat dengan kerja penyelenggaraan,” kata kenyataan itu lagi.

Sebelum itu tular di laman thread perkongsian pengguna memaklumkan kesesakan di Jalan Alam Budiman berikutan pelaksanaan kerja pembaikan jalan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.