KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Dua kejadian pokok tumbang dilaporkan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) petang ini susulan hujan lebat di sekitar ibu negara yang mengakibatkan laluan trafik terjejas teruk sejauh tujuh kilometer.
Wakil Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan dua lokasi itu ialah di Bukit Lanjan dan Jalan Duta.
Beliau berkata kejadian yang bermula pada 5.30 petang menyebabkan lorong kecemasan terhalang dan proses pengalihan dan pembersihan sedang giat dijalankan.
“Kejadian di Jalan Duta dilaporkan menyebabkan sebuah kenderaan mengalami kerosakan akibat serpihan ranting pokok namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kejadian itu mengakibatkan kesesakan kira-kira tujuh kilometer,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata kejadian berhampiran Bukit Lanjan tidak melibatkan kenderaan yang terjejas namun menyebabkan kesesakan kira-kira enam kilometer pada waktu puncak petang tadi sebelum dilaporkan kembali terkawal malam ini.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati serta merancang perjalanan masing-masing dengan maklumat trafik boleh didapati di platform rasmi X @LLMTrafik dan aplikasi PLUS.







