SHAH ALAM, 11 NOV: Banjir kilat yang melanda Persiaran Metafasa berhampiran Habitus Denai Alam pagi tadi dilaporkan surut selepas kira-kira dua jam, tanpa sebarang mangsa terkandas atau terjejas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata kejadian dipercayai berpunca daripada sistem perparitan yang tidak mampu menampung aliran air meskipun hujan tidak begitu lebat.
Menurutnya, air mula surut selepas aliran daripada sistem perparitan memasuki sungai berhampiran.
"Setakat ini, pihak bomba tidak menerima sebarang laporan mangsa terkandas atau terjejas akibat kejadian berkenaan.
"Pemantauan di kawasan berisiko banjir dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari termasuk ketika tiada hujan," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Ashrul berkata pihaknya akan terus mempergiat pemantauan di kawasan berisiko, khususnya sepanjang musim hujan dan banjir.
Terdahulu, beberapa pengguna media sosial Threads berkongsi keadaan banjir kilat di Persiaran Metafasa yang menyebabkan jalan utama berhampiran Habitus Denai Alam dinaiki air.
Pengguna Threads, @aishazul menerusi hantaran sekitar jam 7.30 pagi menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.
Seorang lagi pengguna, @sambahren turut berkongsi keadaan jalan yang ditenggelami air sehingga kelihatan seperti sungai menerusi hantaran pada jam 7.41 pagi, selain mengingatkan pengguna jalan raya supaya berwaspada.







