SHAH ALAM, 12 NOV: Datuk Seri Najib Razak dikenakan empat syarat utama termasuk sekatan tempat tinggal, pergaulan, pergerakan dan penggunaan alat komunikasi sepanjang menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata syarat berkenaan ditetapkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menerusi pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri keenam itu.
Menurutnya, empat syarat berkenaan merangkumi sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan dan lawatan, sekatan penggunaan telefon serta alat komunikasi, selain kewajipan menghadiri program pemulihan dan intervensi.
“Najib juga dimaklumkan yang beliau tidak boleh berpindah ke rumah, bangunan atau premis lain. Beliau juga tidak dibenarkan keluar dari alamat ditetapkan, melainkan dengan izin bertulis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian..
Saifuddin turut menjelaskan Najib tidak dibenarkan tinggal bersama isteri, anak, menantu dan cucu kecuali mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu.
“Bagi tujuan solat, solat Jumaat misalnya, kita akan bawa (ke masjid atau surau), selain beliau tidak dibenarkan tinggal bersama isteri, anak, menantu dan cucu, kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu,” katanya.
Tambah beliau, sekatan sama turut dikenakan terhadap penerimaan tetamu dengan setiap lawatan memerlukan kebenaran bertulis, manakala hanya individu yang dibenarkan Lembaga Pengampunan boleh tinggal bersama Najib.
“Lembaga Pengampunan juga sebut sesiapa yang dibenarkan tinggal, itu orang boleh tinggal. Selain daripada itu, kena ada kebenaran bertulis,” katanya sambil memaklumkan Jabatan Penjara turut diberikan kuasa menetapkan kawalan, seliaan dan tatacara yang sudah dimaklumkan kepada Najib sebelum dipindahkan ke kediamannya.
Penjelasan itu menjawab pertanyaan Suhaizan mengenai syarat khusus tahanan rumah Najib sehingga 23 Ogos 2028, termasuk agensi yang bertanggungjawab memantau pematuhannya.







