Lelaki cedera parah selepas ditetak, 11 ditahan bantu siasatan

5 Sep 2026, 1:35 AM
Lelaki cedera parah selepas ditetak, 11 ditahan bantu siasatan

IPOH, 5 SEPT: Sebelas individu ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas diserang sekumpulan lelaki di Taman Pengkalan Jaya di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun telah didatangi sekumpulan lima lelaki yang menaiki dua kereta, sebelum kesemua suspek mengejar dan menyerang mangsa.

Beliau berkata mangsa yang cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Kinta ditetak menggunakan parang oleh seorang daripada suspek, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan, kaki dan belakang badan.

Mohd Alwi berkata mangsa kemudiannya telah dibantu oleh orang awam dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tindaka dendam dan tidak puas hati oleh kumpulan jenayah terancang terhadap mangsa. Pihak polis memandang serius kejadian ini dan telah membuat tangkapan terhadap 11 lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

"Kesemua yang ditangkap berumur antara 22 hingga 41 tahun dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah serta jenayah kekerasan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Alwi berkata kesemua tangkapan telah direman bagi membantu siasatan berkait kes serangan itu serta penglibatan mereka dalam kumpulan jenayah terancang, dengan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.