SHAH ALAM, 28 OGOS: Seorang guru besar dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 11 sebatan oleh Mahkamah Rayuan, hari ini, selepas didapati bersalah menghasilkan pornografi dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berusia 12 tahun, lima tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin, bersidang bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, menolak rayuan akhir tertuduh, Anuar Kintan, 59, terhadap sabitan bagi pertuduhan menghasilkan pornografi kanak-kanak, lapor Berita Harian.
Mahkamah turut membenarkan rayuan pendakwaan bagi pertuduhan amang seksual fizikal, sekali gus mengetepikan keputusan lepas dan bebas yang diberikan mahkamah terdahulu.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun dan lapan sebatan yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Ipoh terhadap Anuar.
Bagi pertuduhan kedua, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan, selain hukuman tambahan penjara setahun dan dua sebatan mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 20 tahun dan 11 sebatan.
Anuar juga diperintahkan menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan berkenaan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan, berkuat kuasa hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, Anuar didakwa menghasilkan pornografi kanak-kanak dengan mengambil gambar mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun di sebuah sekolah rendah di Perak pada jam 10 pagi, 3 April 2021.
Kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Pemeriksaan forensik telefon bimbit menyokong sabitan
Dalam penghakimannya, Noorin berkata, keterangan mangsa yang dirujuk sebagai saksi pendakwaan keempat (SP4), gambar yang ditemui dan hasil pemeriksaan forensik terhadap telefon bimbit milik tertuduh menyokong sabitan berkenaan.
"SP4 mengenal pasti Anuar sebagai individu yang mengambil gambar berkenaan, manakala gambar ditandakan sebagai P11A dan P11B memaparkan tubuh mangsa.
"Pemeriksaan forensik yang dijalankan turut mengenal pasti imej berkenaan dalam telefon bimbit milik tertuduh," katanya.
Noorin berkata, pembelaan mencadangkan gambar itu mungkin diterima daripada orang lain atau telefon berkenaan boleh diakses pihak lain.
"Bagaimanapun, mahkamah berpendapat penjelasan alternatif yang sekadar dicadangkan tidak semestinya menimbulkan keraguan munasabah apabila keseluruhan keterangan dinilai.
"Mahkamah juga mendapati pembelaan alibi yang dikemukakan tidak mempunyai asas mencukupi untuk mengetepikan dapatan mahkamah terdahulu," katanya.
Bagi pertuduhan kedua, Anuar didakwa melakukan amang seksual fizikal di sekolah, masa dan tarikh sama.
"Mahkamah terdahulu melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan itu selepas menerima pembelaan alibi, termasuk keterangan isterinya, saksi pembelaan ketujuh (SD7), yang mendakwa mereka berada di rumah pada hari kejadian.
"Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mendapati keterangan seorang lagi rakan mangsa (SP5) yang menemaninya ke sekolah pada pagi kejadian, menyokong secara material keterangan pendakwaan," katanya.
Menurutnya, SP5 berkata, mereka tiba di sekolah kira-kira jam 9.30 pagi sebelum pergi ke pejabat guru besar.
"SP5 kemudian melihat mangsa dan tertuduh keluar dari pejabat itu bersama-sama. Kira-kira setengah jam kemudian, mangsa kembali sebelum mereka meninggalkan sekolah.
"Ketika dalam perjalanan pulang, mangsa memberitahu SP5 bahawa tertuduh menyentuh badannya," katanya.
Menurutnya, mahkamah menegaskan beban pembuktian kekal pada pihak pendakwaan sepanjang masa dan keputusan mensabitkan tertuduh dibuat selepas keseluruhan keterangan dinilai, termasuk keterangan SP4 yang disokong dalam aspek material oleh pemerhatian SP5.
"Mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan membuktikan pertuduhan kedua melampaui keraguan munasabah, lalu membenarkan rayuan pendakwaan dan mensabitkan Anuar mengikut Seksyen 14(a), dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pendakwaan terhadap dua lagi pertuduhan amang seksual dan mengekalkan keputusan lepas dan bebas Anuar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Mahmod manakala peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mewakili tertuduh.






