Selangor sasar jadi hab syarikat Osaka untuk tembusi pasaran ASEAN

10 Nov 2026, 1:09 PM
Selangor sasar jadi hab syarikat Osaka untuk tembusi pasaran ASEAN
Selangor sasar jadi hab syarikat Osaka untuk tembusi pasaran ASEAN
Selangor sasar jadi hab syarikat Osaka untuk tembusi pasaran ASEAN

SHAH ALAM, 11 NOV: Selangor berhasrat menjadi pangkalan strategik bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari Osaka, Jepun mengembangkan perniagaan ke pasaran ASEAN, sekali gus menarik pelaburan baharu dan membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata usaha itu antara fokus kerjasama ekonomi yang dibincangkan bersama Kerajaan Wilayah Osaka bagi memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, kerjasama berkenaan turut bertujuan membuka peluang kepada syarikat tempatan di Selangor untuk menembusi pasaran Jepun menerusi penyertaan dalam rantaian bekalan negara itu.

"Bagi memastikan kerjasama ini memberi makna, ia perlu membawa manfaat nyata kepada kedua-dua pihak.

"Ini termasuk menjadikan Selangor sebagai pangkalan bagi PKS dari Osaka untuk mengembangkan perniagaan ke ASEAN, selain membuka peluang kepada syarikat Selangor menyertai rantaian bekalan Jepun," katanya menerusi Facebook.

Sze Han berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Ketua Pengarah Biro Penyelarasan Strategi Kerajaan Wilayah Osaka, Shimizu Yoshiaki dan pasukannya ketika lawatan kerja ke Jepun.

Katanya, delegasi Osaka turut dijemput menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) bagi meneroka peluang kerjasama ekonomi yang lebih luas.

Dalam perkembangan sama, Invest Selangor bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menganjurkan sesi meja bulat pelaburan di Osaka yang menghimpunkan 16 wakil daripada 10 syarikat dan organisasi.

Sesi itu melibatkan wakil sektor tenaga elektrik, bateri, aluminium dan peralatan elektrik, selain institusi perbankan, firma perunding serta persatuan perniagaan.

Menurut Sze Han, semua pihak terbabit menunjukkan minat terhadap Selangor selepas diberi penerangan mengenai kelebihan negeri itu sebagai destinasi pelaburan serta kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri dan Invest Selangor.

Beliau berkata tindakan susulan akan dilaksanakan bagi meneliti setiap pertanyaan dan keperluan pelabur dalam usaha merealisasikan potensi pelaburan berkenaan.

"Minat pelabur hanyalah langkah pertama. Tanggungjawab kita adalah untuk menterjemahkan minat itu kepada pelaburan sebenar, seterusnya menjadikan pelaburan tersebut sebagai peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Selangor," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.