AYER KEROH, 10 NOV: Pemimpin yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diharap dapat melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah demi kepentingan rakyat.
Harapan itu disuarakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Koperal Siti Farrahanna Faizul Hisam yang turut berharap aspek kebajikan penjawat awam, khususnya berkaitan gaji dan elaun, terus diberi perhatian.

“Bila laksanakan tugas, kita nak yang jujur, amanah dan bertanggungjawab. Kita tak harapkan lebih, cukup dapat pegang amanah dan jujur itu pun sudah cukup,” katanya selepas selesai mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Beliau berharap kerajaan turut mengkaji semula kadar gaji dan elaun penjawat awam agar lebih seiring dengan keadaan ekonomi semasa serta peningkatan kos sara hidup.
“Harapan kami untuk masa akan datang agar kerajaan lebih mengkaji tentang elaun dan gaji disebabkan keadaan ekonomi semasa supaya penjawat awam dan kos sara hidup lebih terjamin… seiring elaun dan gaji,” katanya.

Sementara itu, Asisten Superintenden Mohd Abdah Jalaluddin yang bertugas di Unit Pemusnah Bom menyeru rakan setugas supaya menggunakan kematangan dalam membuat pilihan demi kemajuan negara.
“Kita pun semakin lama semakin mencapai era kemajuan jadi gunakanlah kematangan masing-masing untuk memilih mana-mana yang terbaik demi kemajuan pada masa akan datang,” katanya selepas selesai mengundi.
Untuk rekod, seramai 2,445 pengundi polis dan 9,769 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh Melaka, termasuk 817 anggota IPK Melaka, dijangka menunaikan tanggungjawab mengundi awal hari ini.












