SHAH ALAM, 29 OKT: Kos pelaksanaan, tanggungjawab undang-undang dan kekurangan kepakaran antara cabaran yang perlu ditangani dalam merangka Dasar Kesihatan Mental di Tempat Kerja.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata dasar itu perlu disertakan garis panduan praktikal bagi memastikan majikan mampu melaksanakannya tanpa mengabaikan kesejahteraan pekerja.
Beliau berkata isu stigma, kebimbangan pekerja dan akses kepada perkhidmatan sokongan juga perlu diberi perhatian.
“Dasar ini perlu disertai dengan panduan yang jelas supaya majikan memahami tindakan yang perlu diambil, bentuk sokongan yang boleh disediakan kepada pekerja serta pendekatan sesuai bagi memastikan pelaksanaannya berkesan di tempat kerja.
“Pandangan pihak berkepentingan seperti MEF dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga perlu diambil kira dalam proses memuktamadkan dasar,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Menurutnya, majikan boleh menyediakan saluran bantuan sulit, melatih pengurus mengenal pasti tanda awal masalah kesihatan mental serta melindungi kerahsiaan pekerja.
Aturan kerja fleksibel juga boleh dipertimbangkan, selain memperkukuh budaya pencegahan supaya tindakan tidak hanya diambil apabila pekerja mengalami krisis.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kerajaan sedang mengadakan libat urus dengan Kementerian Sumber Manusia dan pihak berkepentingan bagi membangunkan dasar berkenaan.
Langkah itu bertujuan memperkukuh sistem sokongan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental di tempat kerja.






