Maritim nafi video tular kemasukan PATI di pantai barat Johor

30 Jul 2026, 9:44 AM
Maritim nafi video tular kemasukan PATI di pantai barat Johor

SHAH ALAM, 30 JULAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menafikan video yang tular dalam media sosial berhubung dakwaan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di pantai barat Johor, bulan ini.

Pemangku Pengarah Maritim Malaysia Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata pihaknya sudah menjalankan semakan serta penilaian terhadap kandungan video tular berkenaan.

"Kita memandang serius perkara ini, namun hasil risikan dan siasatan terhadap kes-kes terdahulu mendapati tiada bukti yang mengesahkan modus operandi seperti dipaparkan dalam video berkenaan.

"Malah, kami tidak menolak kemungkinan kandungan sedemikian digunakan sebagai taktik penipuan oleh pihak tertentu bagi memperdaya individu yang ingin mendapatkan khidmat membawa masuk atau keluar pendatang asing tanpa izin," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sindiket penyeludupan migran sentiasa mengubah modus operandi bagi mengelakkan pengesanan termasuk menggunakan bot fiber berenjin kecil yang menyerupai bot nelayan tempatan.

Selain itu katanya, pihak sindiket turut menukar lokasi pendaratan serta memilih waktu operasi yang sukar dikesan.

Sepanjang tempoh 2024 hingga bulan ini, pihaknya sudah mematahkan 13 cubaan penyeludupan migran melalui laluan laut.

"Daripada jumlah itu, enam kes direkodkan pada 2024, empat kes pada 2025 dan tiga kes bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini," jelasnya.

Kama Azri turut menyeru komuniti maritim, nelayan dan penduduk pesisir pantai supaya terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di laut.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.