Hakisan tebing sungai: Jambatan Jalan Jati ditutup sementara hingga Selasa

8 Nov 2026, 2:51 AM
Hakisan tebing sungai: Jambatan Jalan Jati ditutup sementara hingga Selasa

SHAH ALAM, 8 NOV: Jambatan Jalan Jati yang merentasi Sungai Damansara ditutup sementara kepada semua pengguna sehingga Selasa ini susulan kerosakan struktur akibat hakisan tanah di sekitar tebing sungai.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim berkata kerosakan membabitkan bahagian kiri, kanan dan bawah jambatan itu dikesan sebelum Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan, semalam.

Menurutnya, penduduk yang menyedari keadaan jambatan terlebih dahulu mengambil langkah menghalang laluan berkenaan bagi mengelakkan kenderaan, khususnya kenderaan berat, daripada menggunakannya.

“Hasil penilaian JKR selepas melihat keadaan jambatan yang mengalami kerosakan, jalan tersebut ditutup bagi memastikan keselamatan pengguna.

“Sebagai langkah keselamatan, lencongan turut dibuat bagi menghalang mana-mana penduduk daripada menggunakan jalan tersebut,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang pita dan kon bagi menutup Jambatan Jalan Jati susulan kerosakan struktur akibat hakisan tanah di sekitar tebing Sungai Damansara pada 7 November 2026. Foto Facebook Izuan Kasim

Mengulas kerja pembaikan, Izuan berkata JKR akan berusaha melaksanakannya secepat mungkin, namun berdepan kekangan mendapatkan bekalan bahan binaan berikutan cuti umum.

“Kebanyakan kuari tutup (berikutan cuti umum). Jadi, JKR akan cuba mencari kuari yang buka pada hari Selasa untuk pembaikan.

“Oleh sebab itu, pihak JKR akan menutup jalan tersebut sehingga hari Selasa jika dapat mana-mana kuari yang buka untuk bekalan pantas,” katanya.

Sementara itu, JKR Selangor memaklumkan kejadian runtuhan tebing pada bahagian struktur tembok landas (abutment) jambatan dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.30 petang, semalam.

Menurut jabatan itu, kejadian dipercayai berpunca daripada peningkatan paras air Sungai Damansara dan aliran deras susulan hujan berterusan yang mengakibatkan hakisan tanah di sekitar struktur berkenaan.

“JKR Selangor akan melaksanakan kerja pembaikan sementara di kawasan terjejas di bawah Kerja Kecemasan tertakluk kepada keadaan semasa dan keselamatan di tapak kejadian,” menurut kenyataan itu.

JKR turut memaklumkan pemantauan akan dilakukan oleh JKR Daerah Petaling bersama pihak konsesi bagi mengesan sebarang pergerakan aktif pada struktur jalan dan jambatan.

Peta menunjukkan laluan alternatif melalui Lorong Cempaka yang boleh digunakan pengguna jalan raya susulan penutupan sementara Jambatan Jalan Jati akibat hakisan tanah di sekitar tebing Sungai Damansara pada 7 November 2026. Foto Facebook Izuan Kasim

Sepanjang tempoh penutupan, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Lorong Cempaka serta mematuhi papan tanda keselamatan yang disediakan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.