Jalan mendap lebih sedekad di Subang Bestari bakal dibaik pulih

5 Sep 2026, 3:00 AM
Jalan mendap lebih sedekad di Subang Bestari bakal dibaik pulih
Jalan mendap lebih sedekad di Subang Bestari bakal dibaik pulih
Jalan mendap lebih sedekad di Subang Bestari bakal dibaik pulih

SHAH ALAM, 5 SEPT: Masalah jalan mendap di beberapa laluan sekitar Subang Bestari yang berlarutan lebih sedekad bakal ditangani menerusi kerja baik pulih bermula bulan ini hingga hujung November.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim berkata kerja berkenaan melibatkan sebahagian Persiaran Atmosfera, Persiaran Cakerawala dan Persiaran Uranus dengan penutupan laluan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tempoh pembaikan.

"Selepas tiga tahun perbincangan dan desakan daripada pejabat saya kepada pihak pemaju, Alhamdulillah mereka akhirnya bersetuju untuk membuat pembaikan jalan tersebut.

"InsyaAllah kerja pembaikan akan bermula bulan ini sehingga hujung November," katanya kepada Media Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim.

Menurut beliau, antara lokasi yang diberi tumpuan ialah Persiaran Atmosfera, khususnya di hadapan Pejabat Tanah Daerah (PDT) Petaling yang mengalami mendapan dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah.

Beliau berkata masalah yang dianggarkan berlarutan antara 10 hingga 15 tahun itu menjejaskan keselesaan penduduk serta pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

"Saya minta semua doakan agar proses ini berjalan lancar dan masalah jalan di hadapan Pejabat Tanah Daerah Petaling yang sekian lama menjadi igauan penduduk dapat diselesaikan.

"InsyaAllah jalan ini akan dibaik pulih secara tuntas dan memberikan keselesaan kepada masyarakat di Subang Bestari," ujarnya.

Keadaan jalan di Persiaran Atmosfera, Subang Bestari yang mengalami kerosakan dan bakal dibaik pulih menerusi kerja penyelenggaraan bermula bulan ini. Foto DEWI ABDUL RAHMAN/MEDIA SELANGOR

Izuan berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah memberikan permit kepada pemaju Worldwide Holdings Berhad untuk memulakan kerja di kawasan terlibat.

Selain menangani masalah mendapan, katanya, kerja baik pulih di Persiaran Cakerawala dari Universiti HELP hingga persimpangan Petronas turut merangkumi pembaikan lampu jalan yang tidak berfungsi.

"Sebelum ini, ada lampu jalan yang tidak menyala sehingga berbulan-bulan," katanya.

Beliau berharap kerja pembaikan itu dapat menyelesaikan masalah yang sekian lama membelenggu pengguna, selain meminta orang ramai bersabar susulan penutupan jalan secara berperingkat sehingga projek selesai.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.