SHAH ALAM, 28 NOV: Banjir di Terengganu semakin buruk apabila semua lapan daerah terjejas, dengan Kuala Nerus menjadi daerah terbaharu dinaiki air.
Setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 4,602 mangsa daripada 1,308 keluarga dipindahkan ke 66 pusat pemindahan sementara (PPS).
Kemaman kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 1,511 orang membabitkan 407 mangsa dipindahkan ke 14 PPS, diikuti Marang dengan 1,335 mangsa daripada 371 keluarga di sembilan PPS, lapor Berita Harian.
Setiu merekodkan 973 orang daripada 291 keluarga yang kini berlindung di 23 PPS, disusuli Dungun seramai 332 orang daripada 80 keluarga di lapan PPS.
Kuala Terengganu merekodkan 240 mangsa dengan 103 keluarga dipindahkan di dua PPS, manakala Hulu Terengganu mencatatkan 140 mangsa dan Besut, 71 mangsa.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, Kuala Nerus mula terjejas pagi tadi, menjadikan keseluruhan lapan daerah dilanda banjir.
Cuaca masih tidak menentu dengan hujan berterusan sejak malam tadi menambah kebimbangan terhadap kemungkinan jumlah mangsa terus meningkat.
Sebahagian besar kawasan terjejas membabitkan kampung rendah berhampiran sungai yang melimpah akibat taburan hujan berterusan sejak dua hari lalu.
Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko meredah laluan dinaiki air dan segera berpindah jika diarah petugas keselamatan.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi penyelamat lain giat menjalankan pemantauan dan pemindahan di kawasan terjejas.


